Ejen Jus Ekstasi Remaja Ditahan
- nabalunews
- 2m
- 1 min read

28 November 2025
KOTA KINABALU: Seorang remaja berusia 18 tahun yang berperanan sebagai ejen pengedaran jus dan dadah ekstasi ditahan dalam hasil serbuan di sebuah kondominium di Penampang, Rabu lalu.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu turut berjaya merampas 95 gram serbuk disyaki ekstasi.
Ketua JSJN Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, sebaik ditahan, remaja berusia 18 tahun terbabit menyerahkan sendiri tiga paket dan satu tiub straw mengandungi serbuk disyaki ekstasi.
Katanya, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan lanjut.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,700. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif ketamin.
"Suspek mengaku menjadi ejen kepada seorang lelaki sejak Oktober lalu untuk mengedar jus ekstasi di sekitar Penampang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan daripada kejayaan berkenaan, Alhusin berkata, JSJN meneruskan operasi dengan menyerbu sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun.
"Tiada dadah ditemukan, bagaimanapun suspek mengaku bekalan yang diserahkan suspek pertama adalah miliknya.
"Siasatan juga mendapati suspek pula mendapat bekalan daripada individu dipercayai pekerja premis hiburan.
"Usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan bagi melumpuhkan sepenuhnya rangkaian ini,” tegasnya.
Sementara itu, Alhusin turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja dan pengunjung pusat hiburan, supaya menjauhi sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesyaki kegiatan mencurigakan.
"Dadah bukan saja memusnahkan masa depan, tetapi membuka ruang kepada jenayah lain. Kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan rangkaian pengedaran dapat diputuskan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


















Comments