Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 5.8% pada suku kedua 2024
20 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024 akan memberi kesempatan kepada negara untuk bangkit menjadi lebih gagah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini merupakan angka yang luar biasa dan di luar daripada unjuran yang dikemukakan semua pihak.
“Malaysia telah pecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan menakjubkan 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, luar daripada jangkaan biasa, luar daripada unjuran yang dikemukakan oleh semua pihak.”
Anwar berkata, dalam Ekonomi MADANI, kerajaan menjanjikan peluang pekerjaan, latihan dan pemindahan teknologi yang lebih baik menuju ke arah pendigitalan dan peralihan tenaga.
“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” kata Anwar menerusi hantaran video di laman sosial beliau, hari ini.
Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat, pekerja, golongan profesional dan pelabur yang terus memberi kepercayaan kepada hala tuju Ekonomi MADANI.
“Dengan penuh tawaduk, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat, penghargaan tidak terhingga kepada warga pekerja sama ada di pihak kerajaan mahu pun swasta, terima kasih tidak terhingga kepada warga profesional dan terima kasih kepada para pelabur yang terus yakin dengan hala tuju ekonomi MADANI,” katanya menerusi perkongsian di platform media sosial, hari ini.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak Suku Kedua 2022 pada 7.4 peratus.
Menurut laman web DOSM, pengumuman rasmi KDNK Suku Kedua 2024 akan dibuat pada 16 Ogos, 2024.
Comments