top of page

Ekspo 2025 Osaka: IPT Malaysia-Jepun meterai 31 MoU, MoA

  • nabalunews
  • Jul 27, 2025
  • 1 min read

27 Julai 2025


PUTRAJAYA: Sebanyak 31 pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani antara 11 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bersama IPT Jepun, sepanjang Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2025 Osaka yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun lalu.


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata, MoU dan MoA berkenaan melibatkan 13 bidang strategik termasuk perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan.


Selain itu, katanya pelbagai bentuk aktiviti lain turut dipersetujui, antaranya melibatkan program pertukaran pelajar dan akademia, latihan industri, projek penyelidikan bersama dan pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri.


"Beberapa sesi padanan perniagaan turut diselaraskan dengan menghimpunkan 11 IPT Malaysia dan 20 syarikat luar negara, bertujuan memperkenalkan IPT Malaysia ke pasaran Jepun di samping menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk (R&D).


"Program yang menyediakan ruang interaksi ini meneroka potensi untuk peluang kolaborasi seperti pemindahan teknologi serta pembangunan program akademik," menurut kenyataan itu.


KPT berkata, usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa menjadi fokus utama penyertaan KPT di Pavilion Malaysia.


Menurutnya, satu daripada inisiatif menggalakkan ketibaan pelajar adalah melalui program Edutourism, iaitu gabungan pendidikan dan pelancongan dengan menawarkan 168 pakej daripada 55 rakan sepadan merangkumi 11 kategori utama termasuk budaya, warisan, makanan dan pengembaraan.


Mengetengahkan tema 'Study in Malaysia', program berkenaan sarat dengan pengisian bermanfaat dan jalinan kerjasama strategik, selari usaha KPT memperluaskan jaringan kolaborasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di peringkat global.


Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia itu merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh enam hari penganjuran.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page