El Nino Super 2026: 90% Sah Akan Landa Malaysia
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
PUTRAJAYA, 19 Ogos – Kebarangkalian fenomena El Nino mencapai kategori sangat kuat atau "Super El Nino" antara Oktober dan Disember 2026 kini melebihi 90 peratus, demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.
Perkembangan itu berdasarkan trend menaik yang sangat signifikan dalam Relative Oceanic Niño Index (RONI) sejak pertengahan tahun ini, serta pencerapan terkini yang menunjukkan suhu permukaan laut mingguan melebihi 1.8 darjah Celsius di atas purata klimatologi. Situasi ini menunjukkan intensiti El Nino terus mengukuh dan dijangka mencapai kemuncak pada penghujung 2026.
Konfigurasi iklim global terkini menunjukkan fenomena El Nino 2026-2027 berpotensi menjadi antara paling ekstrem pernah direkodkan, dengan impak dijangka melepasi atau sekurang-kurangnya menyamai episod El Nino sangat kuat pada 1997-1998 dan 2015-2016. Sebagai perbandingan, rekod suhu tertinggi negara iaitu 40.1 darjah Celsius dicerap di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998, manakala episod 2015-2016 mencatatkan 39.3 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016.
Berdasarkan pola episod terdahulu serta kesan pemanasan global, peningkatan suhu kali ini dijangka lebih ketara bermula Februari hingga Mei 2027. Negara akan mengalami keadaan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan, disertai pengurangan taburan hujan yang ketara di beberapa kawasan pada penghujung musim Monsun Timur Laut dan fasa peralihan monsun.
Episod El Nino kuat kali ini juga dijangka berlaku serentak dengan fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) positif, yang berpotensi menguatkan kesan pengurangan jumlah hujan di rantau ini. El Nino mengurangkan bekalan kelembapan udara dari Lautan Pasifik, manakala IOD positif pula mengurangkan bekalan kelembapan dari Lautan Hindi. Kombinasi kedua-dua fenomena ini meningkatkan kebarangkalian keadaan lebih panas dan kering serta tempoh hari tanpa hujan yang lebih panjang di rantau selatan ASEAN, termasuk Malaysia.
MetMalaysia memberi jaminan akan sentiasa memantau perkembangan kedua-dua fenomena ini bersama-sama dengan keadaan cuaca dan risiko kebakaran hutan serantau. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk saluran rasmi MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat terkini dan panduan keselamatan sepanjang tempoh fenomena ini.















Comments