Empat Ditahan, Remaja Cedera Di Kepala Saat Polis Roboh Bangunan Haram Di Matunggong
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
20 Mei 2026
KUDAT: Empat individu ditahan manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam operasi perobohan struktur binaan di atas tanah simpanan kerajaan di Daerah Kecil Matunggong, Kudat pagi semalam.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 9.30 pagi oleh Jabatan Tanah dan Ukur Kudat dengan disertai beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyasarkan kawasan tapak tambahan Pekan Baru Daerah Matunggong.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, keempat-empat individu itu ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
“Sebelum tindakan penahanan dibuat, pihak polis telah memberikan nasihat serta amaran supaya semua yang berada di lokasi memberi kerjasama dan mengosongkan kawasan perobohan. Namun, arahan tersebut tidak dipatuhi dan berlaku provokasi serta tindakan menghalang penjawat awam,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, dalam insiden tersebut, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dan telah dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut. Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
Semasa operasi dijalankan, terdapat kehadiran beberapa pelajar Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta penduduk kampung di lokasi kejadian. Pihak polis melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan keadaan terkawal dan operasi berjalan lancar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertenang, tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmonik di media sosial.















Comments