Empat kluster baharu di Sabah hari ini, merupakan kluster tempat kerjaEmpat kluster baharu di Sabah hari ini, merupakan kluster tempat kerja
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Empat kluster baharu di Sabah hari ini, merupakan kluster tempat kerja



27 Julai 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Empat kluster baharu direkodkan hari ini di Sabah merupakan kluster tempat kerja di Penampang, Tawau, Kudat dan Kota Kinabalu.


Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Penampang, Kluster Inderasabah - Tawau, Kluster Jeti Kudat dan Kluster Industri Kolombong.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Penampang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasaraya besar di Jalan Penampang, Pekan Koidupan.


“Kes indeks merupakan juruwang wanita, 25, yang disahkan positif Covid-19 pada 26 Julai 2021 melalui saringan bergejala dengan keputusan RTK-Ag grading 29%.


“Saringan kontak rapat mendapati 28 lagi kes positif masing-masing 10 kes dan 18 kes pada 27 Julai dan 26 Julai 2021 dalam kalangan rakan sekerja dan keluarga.


“Pertambahan angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster jenis tempat kerja ini ialah sebanyak 29 kes. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Inderasabah Tawau pula merupakan kluster komuniti yang berlaku di Mukim Balung, Tawau.


Katanya, kes indeks adalah pekebun sawit, lelaki, 30, telah disahkan positif (RTK-Ag grading 80%) pada 24 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021.


“Kes indeks yang bekerja sendiri tinggal di Kg Darat, Inderasabah bersama dengan 13 ahli keluarga. Selain saringan kontak rapat, saringan kontak sosial juga dilakukan terhadap tiga kontak di Blok C, PPR Taman Sri Apas dan mendapati dua daripadanya adalah positif.


“Setakat ini, 17 kontak telah disaring dan 14 daripadanya didapati positif termasuk 11 kes baharu. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.


Bagi Kluster Jeti Kudat pula, ia merebak di tempat kerja pada hari ini, menokok 11 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 44 kes.


Masidi berkata, kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap kes indeks, wanita, 51, peniaga bukan warganegara di Jeti Kudat disahkan positif Covid-19 dengan keputusan PCR dengan CT Value 22.66 di Hospital Kudat pada 15 Julai 2021.


“Berikutan pertambahan bilangan kes positif di Jeti Kudat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat melakukan saringan bersasar ke atas semua individu yang terlibat dengan aktiviti perniagaan dan perusahaan ikan di daerah Kudat bermula 21 hingga 26 Julai 2021.


“Sebanyak 237 sampel saringan bersasar diambil dalam tempoh berkenaan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, disinfeksi dan kawalan penyebaran penyakit masih giat dijalankan,” katanya.


Masidi berkata, Kluster Industri Kolombong - Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran berlaku dalam kategori tempat kerja melibatkan gudang minyak masak di Kolombong.


Katanya, kes indeks bagi kluster ini adalah pembantu pemandu, lelaki, 26, yang mula bergejala sejak 17 Julai 2021, sebelum disahkan positif COVID-19 dengan keputusan PCR dengan bacaan CT Value 24.7 di Klinik Kesihatan Penampang pada 19 Julai 2021.


“Kes indeks juga telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Hasil saringan kontak, kluster ini merekodkan 23 kes positif secara kumulatif dengan mendaftarkan kes dengan kaitan epidemiologi di daerah lain.


“Bagi Kota Kinabalu lapan kes didaftarkan termasuk satu kes baharu hari ini, sementara Penampang 12 kes dan Tuaran tiga kes. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page