top of page
  • Wartawan Nabalu News

Empat sekolah di Penampang terima bantuan daripada Bank Rakyat

29 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick memuji usaha Bank Rakyat dan agensi-agensi lain dibawah kementerian itu melaksanakan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu pihak sekolah yang memerlukan bantuan.


Beliau berkata usaha murni itu harus diteruskan bukan sahaja oleh agensi kerajaan tetapi juga syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti yang memerlukan di kawasan luar bandar.


“Pada hari ini empat buah sekolah di daerah Penampang iaitu SMK Limbanak, SK Terian, SK.Buayan dan SK.Longkogungan iaitu tiga sekolah pedalaman dalan daerah ini menerima bantuan daripada Bank Rakyat sebagai ihsan agensi itu terhadap kesejahteraan murid sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

“Di samping itu, pelbagai inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk aktiviti pengindahan kawasan sekolah di bawah program kesukarelawanan BaktiRAKYAT, pelancaran Kebun Nuri Nutrisi dan Program Sekolah Tanpa Tunai di SMK Limbanak juga mencerminkan komitmen agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menyantuni murid sekolah di daerah ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Sekolah kawasan Penampang, di SMK Limbanak, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman, pengurusan tertinggi Kuskop dan ketua-ketua agensi Kuskop dan jawatankuasa pengurusan Bank Rakyat.


Pada majlis itu Ewon turut melancarkan beberapa program inisiatif Bank Rakyat di SMK Limbanak iaitu Kebun Nuri Nutrisi iaitu satu penanaman cili secara fertigasi yang akan diusahakan oleh para pelajar dan guru-guru.


Beliau turut melancarkan Gelanggang Petanque yang disumbangkan oleh UDA Holdings satu daripada agensi di bawah Kuskop untuk SMK Limbanak.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap agar bantuan sumbangan dan pelbagai inisiatif itu memberi manfaat kepada para pelajar.


Sementara itu Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat sentiasa cakna terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan masyarakat dan memperkenalkan pelbagai inisiatif dari semasa ke semasa.


Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan di SMK Limbanak ialah pelancaran Kebun Nuri Nutrisi, Bantuan Khas Bank Rakyat Cakna, sumbangan kepada pelajar asnaf, program Inspirasi Ceria SMK Limbanak serta Inisiatif Sekolah Tanpa Tunai Bank Rakyat.

“Inisiatif pelancaran Kebun Nuri Nutrisi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dilaksanakan bagi memupuk kemahiran pertanian dan minda keusahawanan dalam kalangan murid B40 di samping membantu mereka menjana pendapatan secara lestari.


“Ia bertepatan dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan Berjaya,” katanya.


Kebun Nuri Nutrisi di SMK Limbanak ditanam dengan cili bara sebanyak 1,000 polibeg dan hasilnya akan dijual sebagai sumber pendapatan sampingan kepada sekolah dan murid serta mendidik pelajar kepentingan pertanian dalam mengukuhkan kelestarian sekuriti makanan.

Bank Rakyat turut menyerahkan Bantuan Khas Bank Rakyat Cakna berjumlah RM40,000.00 bagi menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sekolah serta pemberian tablet kepada sekolah.


Inisiatif itu merupakan bantuan khusus yang disalurkan kepada empat sekolah di Penampang iaitu SMK Limbanak, SK Terian, SK Longkogungon dan SK Buayan.


“Bank Rakyat berharap sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban kewangan sekolah bagi menyediakan kemudahan pembelajaran dan prasarana yang terbaik untuk guru dan murid,” katanya.


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sumbangan Bank Rakyat kepada SMK Limbanak dan SK Terian sebanyak RM15,300 untuk disalurkan kepada 153 pelajar asnaf.

Selain itu, program Inspirasi Ceria SMK Limbanak telah dijalankan oleh BaktiRAKYAT (sukarelawan warga kerja Bank Rakyat) pada 13 Mei lalu melibatkan 24 warga kerja Bank Rakyat.


Aktiviti itu bertujuan mengindahkan pejalan kaki di sekolah itu, termasuk membersih dan mengecat 60 tiang di susur gajah atau pejalan kaki dengan warna korporat Bank Rakyat.


Dalam pada itu, program kerjasama ini turut melaksanakan Inisiatif Sekolah Tanpa Tunai Bank Rakyat. Ia bertujuan meningkatkan tahap kecelikan kewangan digital pelajar dan mewujudkan ekosistem tanpa tunai di peringkat sekolah.

Inisiatif ini dapat membantu melatih murid dalam menguruskan simpanan dan perbelanjaan serta membolehkan murid menggunakan kad MyDebit di kantin dan koperasi sekolah.


Bank Rakyat sentiasa komited membangunkan ekosistem kewangan yang inklusif dalam memastikan segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda dapat bersama-sama menikmati kemakmuran.

Comments


bottom of page