Malaysia catat pencapaian terbaik domain penulisan SEA-PLM 2024
- nabalunews
- 23 minutes ago
- 1 min read

26 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatat pencapaian terbaik dalam domain Penulisan, Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan itu diumumkan hari ini di Phnom Penh, Kemboja.
Menurut KPM, pencapaian skor purata bagi domain Penulisan murid Malaysia adalah sebanyak 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau, dan yang tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Tenggara yang menyertai SEA-PLM 2024.
“Sebanyak 21 peratus murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak lima peratus.
“Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, jelas KPM, jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih wujud, menjadikan ia cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama.
SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.
Keputusan domain Bacaan dan Matematik telah diumumkan pada bulan Disember tahun lalu.
Bagi Malaysia, pentaksiran ini melibatkan 4,379 murid di 158 sekolah rendah, merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), SK Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta.
Tambah kenyataan itu, KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setara dengan standard pentaksiran antarabangsa demi manfaat anak-anak Malaysia











