- nabalunews
Enam ditahan bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah Penampang
1 Oktober 2024
PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang berjaya menahan enam individu dalam Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ), di mana kesemua mereka ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah, Superintendan Sammy Newton, melibatkan enam Pegawai Kanan Polis dan 35 anggota lain-lain pangkat, bermula pada malam Sabtu sehingga jam 3.30 pagi hari berikutnya.
Polis Daerah Penampang dalam satu kenyataan di Facebook, berkata Operasi sekatan jalan raya Op Mabuk, yang diselia oleh Ketua Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, Inspektor Rozaimi Hj Ahmad, dilaksanakan di Jalan Kota Kinabalu - Penampang, berhadapan SMK Bahang.
Enam pemandu yang ditahan didapati melanggar Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM30,000.
Selain itu, polis turut mengadakan serbuan di dua pusat hiburan di daerah tersebut, namun semua ujian saringan air kencing ke atas pengunjung menunjukkan keputusan negatif.
Superintendan Sammy turut mengingatkan pengusaha premis hiburan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa operasi seperti ini bukan sahaja bertujuan mencegah jenayah, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mendekati masyarakat dan berkongsi maklumat jenayah serta menangani persepsi ketakutan jenayah ('fear of crime').
Sepanjang OBMJ, seramai 88 lelaki dan 19 perempuan telah diperiksa, dengan lima saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, serta dua kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Comments