ENDANG HARGAI KEPRIHATINAN EWON URUS BINA RUMAH SELESA
15 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Kedaifan sebuah keluarga di Kampung Bokilong Kota Belud yang tinggal di sebuah rumah 'berlantaikan tanah" yang tular di media sosial pertengahan tahun 2020 kini mendiami rumah yang lebih selesa.
Rumah bina baharu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu adalah hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan mantan UPPM Kadamaian.
Ewon berharap kerajaan yang ada ketika ini terus prihatin terhadap keperluan rakyat Kadamaian bukan sahaja dari segi rumah PPRT tetapi pembangunan lain untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.
"Sebagai wakil rakyat yang dipilih untuk mewakili rakyat Kadamaian, saya akan terus berusaha membantu rakyat kawasan saya dan meneruskan bantuan-bantuan lain seperti sumbangan kelahiran yang kita mulakan pada tahun 2018," katanya.
Sekitar bulan Mac 2019, rumah keluarga Puan Endang Tawan di Kg.Bokilong Kota Belud musnah dalam satu kebakaran.
Atas inisiatif Adun Kadamaian, MPKK, UPPM, Jabatan Kebajikan dan Pusat Khidmat Parlimen pada masa itu, sebuah rumah untuk keluarga itu berjaya disiapkan pada Ogos 2019 yang dibina secara bergotong-royong..
Mantan Pemaju Mukim UPPM Kadamaian Mark Lister Faustin berkata, sekitar Jun 2020, tular di media sosial kononnya sebuah keluarga di Kampung Bokilong tinggal di "rumah berlantaikan tanah" sehingga dijadikan isu politik.
"Kebetulan ianya berada di lokasi mukim jagaan saya ketika itu, maka saya menjalankan siasatan dan mendapati keluarga yang dimaksudkan adalah keluarga yang kami bantu untuk membina rumah secara bergotong-royong pada Ogos 2019.
"Gambar rumah berlantaikan tanah yang tersebar di media sosial adalah gambar lama sebelum rumah hasil gotong-royong itu dibina. Isu ini dijadikan modal politik pihak tertentu untuk menyerang kerajaan pada masa itu.
"Kami membantu membina rumah secara bergotong-royong untuk keluarga itu sementara menunggu kelulusan permohonan rumah PPRT yang memerlukan masa untuk diproses.
"Oleh itu atas keprihatinan kerajaan pada masa itu dan juga atas syor UPPM dan Datuk Ewon, akhirnya kami berjaya mendapatkan sebuah rumah PPRT untuk keluarga berkenaan.
"Syukur kepada Tuhan kerana pada hari ini, rumah ini sudah boleh didiami oleh keluarga Pn. Endang bersama anak-anak, menantu dan cucunya, biarpun keadaan rumah belum siap sepenuhnya (belum ada pendawaian elektrik)," katanya.
Mark berharap kerajaan baharu akan membantu keluarga berkenaan mendapatkan penyambungan bekalan elektrik (tiang elektrik) memandangkan kawasan rumah mereka agak jauh daripada jaringan bekalan elektrik dan juga mengambilkira kedaifan keluarga itu.
"Buat masa ini, keluarga Pn.Endang hanya menggunakan lampu solar sebagai sumber cahaya pada waktu malam," katanya selepas mengadakan lawatan bersama mantan Pemaju Mukim Juin Kolod, di rumah Pn.Endang, kelmarin.
Dalam lawatan itu, mereka turut menyampaikan sumbangan keperluan dapur untuk keluarga berkenaan.
Comments