ESSCom mahu tingkatkan operasi pemantauan di ESSZone
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ESSCom mahu tingkatkan operasi pemantauan di ESSZone


28 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: ESSCom, kawasan keselamatan khas pantai timur Sabah, mahu memperhebat operasi pemantauan dan rondaan di zon selamat timur Sabah (ESSZone) dengan melibatkan pesawat pejuang dan helikopter.


Komander ESSCom, DCP Victor Sanjos, berkata langkah ini bertujuan untuk mengekang dan menyekat kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) daripada menyelinap masuk ke perairan Sabah.


Beliau berkata gerakan bersepadu itu perlu ditingkatkan khususnya di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan.


Beliau juga mahu melihat masyarakat ESSZone khususnya pelancong asing yang datang ke pantai timur ini berasa yakin dengan tahap keselamatan mereka semasa berada di sini.


"Sebab itu keberadaan dan 'show of presence' pasukan keselamatan di kawasan-kawasan 'hotspot' perlu bagi memberi kawalan keselamatan dan perlindungan kepada pelancong," katanya dalam kenyataan hari ini.


Victor, yang juga anak jati Keningau, mengambil alih jawatan Komander ESSCom daripada DCP Mohd Ali Tamby pada 7 Jun lepas.


Beliau berkata meskipun keadaan keselamatan di ESSZone terkawal daripada sebarang ancaman, kesiapsiagaan dan keberadaan pasukan keselamatan di lokasi strategik dan menjadi tumpuan orang ramai penting bagi menangkis cubaan anasir luar untuk mengganggu gugat kestabilan keselamatan di ESSZone.


Beliau turut menyatakan bahawa ESSCom melalui kerjasama semua pihak berusaha menangani persepsi mengenai keselamatan di ESSZone kerana beberapa negara luar termasuk Jepun dan Korea masih tidak membenarkan rakyat mereka memasuki beberapa kawasan di pantai timur Sabah.


"Pasukan keselamatan berjaya menyekat kejadian penculikan di perairan beberapa tahun kebelakangan ini, namun mungkin masih wujud kebimbangan dan persepsi terhadap keselamatan di pantai timur Sabah berdasarkan nasihat perjalanan dikeluarkan negara tersebut kepada rakyatnya di negara ini.


"ESSCOM melalui kerjasama semua pihak akan berusaha melakukan tindakan proaktif menggunakan kaedah dan pendekatan yang efektif dalam menangani persepsi ini," katanya.


Sementara itu, Victor juga mahu komuniti maritim ESSZone mengambil peranan dengan bekerjasama bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page