ESSCOM RAMPAS 3,500 BUNGKUS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM52,500
- Wartawan Nabalu News
- Nov 14, 2020
- 2 min read

14 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini berjaya merampas 3,500 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM52,500 yang disembunyikan dalam sebuah rumah kosong, di Kampung Mangkalinau, di sini awal pagi tadi.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, bertindak atas maklumat berkaitan pendaratan dan penyeludupan rokok seludup tidak bercukai, sepasukan enam anggota tiger platun Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah diaturgerak ke lokasi di sebuah rumah kosong, di tepi sungai batu 2, kampung mangkalinau.
“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota PGA telah menjumpai beberapa buah kotak besar yang disyaki rokok seludup yang tidak dibayar cukai kastam.
“Setelah pemeriksaan lanjut dibuat, telah menemui tujuh buah kotak besar berisi 3,500 bungkus rokok seludup jenama John yang dipercayai cuba diseludup daripada negara jiran.
“Kesemua rokok tersebut dipercayai cuba diseludup ke daerah ini untuk pasaran tempatan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM52,500 dibawa ke balai polis Sandakan untuk tindakan selanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967.
"Namun demikian, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti dalang-dalang disebalik aktiviti penyeludupan di daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu melancarkan operasi Op Cegah Pati (OCP) daratan di daerah ini terutamanya kepada semua anggota tiger platun batalion 15 PGA.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerja keras bahagian perisikan ESSCOM dengan kerjasama pasukan Tiger Platun batalion 15 PGA, yang telah berjaya menggagalkan taktik penyeludupan yang menggunakan rumah-rumah kosong sebagai stageing point menyimpan barang-barang seludup seperti rokok seludup dan syabu.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZone dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan pati terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk mengekang dan memutuskan rangkaian Covid-19 daripada merebak dibawa masuk ke negara ini melalui pati.
Sementara itu, Ahmad Fuad sekali lagi mengulangi gesaan kepada Seluruh masyarakat di kawasan ESSZone agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat penting terutamanya mengenai kemasukan rokok seludup mahupun PATI melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan ataupun jalan tikus kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.
“Komunit ESSZone juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup sama ada rokok ataupun pati ke negara ini”.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi pati termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut”, katanya.
Comentarios