Lautan Merah, Laungan “United” Gegarkan Stadium Nasional
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

28 Mei 2025
KUALA LUMPUR: Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar menjadi lautan merah apabila dibanjiri puluhan ribu penyokong setia kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United menjelang aksi menentang ASEAN All-Stars dalam saingan Piala Cabaran Maybank, malam ini.
Kehadiran skuad The Red Devils ke Malaysia buat kali pertama sejak 2009 nyata mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat dari seluruh negara dan rantau Asia Tenggara.
Malah, ada yang mula tiba seawal jam 1 tengah hari, lengkap dengan jersi merah, sambil mengibarkan sepanduk serta bendera kelab kesayangan mereka, menjadikan suasana pekarangan stadium seolah-olah berada di ‘Old Trafford versi tropika’.

Seorang penyokong dari Myanmar, Kyawswar, berkata beliau tidak melepaskan peluang menyaksikan kelab pilihannya beraksi secara langsung buat kali pertama walaupun terpaksa membelanjakan hampir USD700 (RM2,954) bagi merealisasikan impiannya.
“Manchester United sudah lama jadi pasukan kegemaran sejak zaman David Beckham. Saya tidak sempat ke Bangkok tahun lalu, menjadi kali ini saya tekad untuk hadir. Walaupun musim ini mengecewakan, kami tetap setia,” katanya.
Beliau berkata prestasi buruk pasukan baru-baru ini tidak mematahkan semangatnya untuk berada di stadium.

Sementara itu, peminat dari Jakarta, Tanagra Fisa turut berkongsi keterujaan apabila dapat melihat kelibat pemain pujaannya secara dekat.
“Saya sangat senang kerana ini peluang terbaik melihat Garnacho (Alejandro Garnacho) dari jarak dekat. Kalau ke England, kos sangat tinggi. Jadi bila mereka datang ke Malaysia, saya tak lepaskan peluang,” katanya.
Aksi antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dijadual bermula pukul 8.45 malam ini.

Setakat ini, lebih 60,000 tiket sudah terjual, sekali gus mencerminkan betapa utuhnya sokongan peminat terhadap juara tiga kali Liga Juara-Juara UEFA itu, meskipun pasukan berkenaan menamatkan musim EPL di tangga ke-15.
Wartawan sukan Berita Harian, Mohamad Zulfaizan Mansor yang turut membuat liputan berkata suasana di stadium amat meriah dan penuh warna-warni.
“Walaupun saya meminati Liverpool saya tetap teruja untuk melihat aksi seteru tradisi the Reds ini, lagi-lagi apabila melihat sambutan luar biasa penyokong yang membuktikan jenama kuat Manchester United di sebalik prestasi buruk mereka,” katanya.
Sementara itu Naib Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Hazreen Mubarak berkata penganjuran aksi menggabungkan pemain terbaik rantau ini menentang United merupakan idea yang bukan sahaja menarik dari sudut sukan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Untuk rekod, kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada 2009 ketika jelajah pramusim dengan dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3–2 dan 2–0.
Selepas aksi di Bukit Jalil, skuad kendalian Ruben Amorim itu dijadual meneruskan jelajah pascamusim ke Hong Kong untuk bertemu pasukan kebangsaan negara itu pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong.– BERNAMA
Comments