top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon adakan kunjungan hormat kepada TYT dan Ketua Menteri, hari ini

Tun Juhar menerima cenderahati daripada Suriani sambil disaksikan oleh Ewon.

12 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddon di Istana Seri Kinabalu dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.


Ini adalah kunjungan pertama Ewon kepada TYT dan Ketua Menteri Sabah selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia baru-baru ini.


Turut serta dalam kunjungan itu, Ketua Setiausaha kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Ahmad, Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Datin Dr. Syahira Hamidon, Ketua Unit Komunikasi Korporat Datin Suriani Abdul Rahman dan Setiausaha Politik Menteri Carl Moosom.

Ketika ditemui pemberita Ewon, berkata kunjungan itu bertujuan membincangkan komitmen kementeriannya di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri membantu rakyat Sabah khususnya dalam bidang keusahawanan dan peluang pekerjaan.


“Ini termasuk usaha kementerian membawa masuk beberapa agensi di bawah kementerian ini yang belum ada pejabat wilayah di Sabah  membuka perkhidmatan mereka di sini. Setakat ini ada dua  agensi yang telahpun bersetuju membuka perkhidmatan di Sabah,” katanya.

Ewon menyampaikan cenderahati kepada Hajiji.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kementerian juga akan mengadakan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat kebangsaan dan Karnival Usahawan dan Koperasi, di Sabah tahun depan.


“Sebelum ini kedua-dua sambutan peringkat kebangsaan itu diadakan di Semenanjung. Sudah tiba masanya kita membawa dua program besar ini di Sabah dalam usaha kita memperkasakan lagi perkhidmatan kesemua agensi di bawah kementerian ini,

” katanya.


Ewon turut menjemput Ketua Menteri untuk sama-sama menjayakan kedua-dua program kementerian itu pada tahun depan.

bottom of page