Ewon akan teruskan sesi libat urus bersama pertubuhan rakyat Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon akan teruskan sesi libat urus bersama pertubuhan rakyat Penampang


Ewon bersama wakil-wakil NGO.

11 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menerima jemputan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendengar dan memberikan cadangan penyelesaian masalah mereka.


Antara persatuan itu ialah Persatuan Ibu Tunggal Sabah, Persatuan Homestay Penampang, Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/ Papar (Takad) dan Tonibung (Tobpinai Ningkokoton Koburuon Kampung).


Antara isu yang dibangkitkan oleh NGO-NGO berkenaan ialah mengenai keperluan golongan wanita terutamanya ibu tunggal, penglibatan wanita dalam pembuat keputusan, keperluan orang kelainan upaya (OKU), pemilikan tanah anak negeri, masalah air dan banjir.


Ewon memberikan ulasan dan cadangan penyelesaian isu-isu yang dikemukakan NGO.

Dalam pertemuan itu, Ewon turut berkongsi pendekatan yang beliau laksanakan di Kadamaian untuk menyelesaikan masalah-masalah seumpama itu.


“Saya percaya sesi libat urus, turun padang dan komunikasi adalah antara kaedah terbaik untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk kampung,” katanya ketika berucap pada program itu, di Pejabat Pacos Trust, di sini, kelmarin.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, peranan persatuan atau NGO amat penting bagi menyuarakan atau memperjuangkan isu-isu berkaitan persatuan mereka dan juga bertindak sebagai pendorong atau mendesak kerajaan melaksanakan sesuatu dasar.



“Saya yakin dan percaya sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk NGO amat penting untuk menyuarakan perkara atau kepentingan dan kebajikan masyarakat yang mereka wakili,” katanya.


Beliau berkata, selepas diberikan mandat sebagai wakil rakyat Kadamaian 2018, beliau menggunakan peruntukan ‘touchpoints’ Adun untuk membiayai kajian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang dilaksanakan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat UPPM Kadamaian dan Perhubungan ADUN Kadamaian.


“Pelan Pembangunan itu, kini menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan luar bandar khususnya Kadamaian.



“Bukan senang untuk melaksanakan kajian ini kerana ia melibatkan 74 buah kampung di Kadamaian dan pelbagai persatuan untuk mendapatkan input daripada rakyat Kadamaian.


“Bagaimanapun dengan komitmen kita dan penjelasan kepada seluruh rakyat Kadamaian melalui program turun padang, akhirnya pelan pembangunan itu berjaya disiapkan dan kini menjadi dokumen dan dasar kerajaan. Bila sudah menjadi dasar kerajaan, senang cari peruntukan untuk melaksanakannya,” katanya.


Mengenai masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan Penampang, Ewon berkata isu itu perlukan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk merumus penyelesaian.



“Dalam tawaran saya kepada rakyat Penampang, mesti ada satu Jawatankuasa Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek Berimpak Tinggi untuk mengurus masalah banjir.


“Bukan hanya mengurangkan kesan banjir kepada penduduk kampung tetapi juga kebajikan mangsa banjir seperti bantuan diagihkan secara adil.


“Pendekatan yang sama, saya laksanakan di Kadamaian dan berjaya menyelesaikan banyak masalah penduduk. Ini juga boleh dilaksanakan di Penampang,” katanya.


Ewon berkata, setiap kali kempen di Kadamaian, beliau tidak pernah menjanjikan untuk menyelesaikan sesuatu masalah penduduk kampung namun beliau berjanji untuk bekerja keras untuk tujuan itu.



“Satu sahaja janji saya iaitu bekerja keras. Di Kadamaian pun saya tidak janji selesaikan ini dan selesaikan itu, tapi saya janji untuk bekerja keras, maka terpulang kepada rakyat untuk menghakimi saya pada pilihan raya.


“Kalau tahun 2018 saya tidak bekerja keras, mungkin tahun 2020 saya bukan lagi wakil rakyat Kadamaian tetapi majoriti naik kerana mereka percaya saya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.


Sehubungan itu Ewon berharap rakyat Penampang dapat memberikan peluang kepadanya untuk berkhidmat untuk Penampang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page