Ewon alu-alukan UDA Holdings teroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon alu-alukan UDA Holdings teroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah


Ewon ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sesi libat urus itu.

30 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan UDA Holdings satu daripada agensi di bawah kementerian itu meneroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah.


Beliau berkata, usaha itu akan membolehkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana di negeri ini mendapat kemudahan ruang niaga yang mencukupi.


“Saya sedia maklum, di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian terdapat agensi yang menyediakan kemudahan ruang niaga tetapi peruntukan terhad dan kemudahan ruang niaga juga terhad untuk usahawan-usahawan.


Ewon (tengah), Phoong Jin Zhe (dua kiri), Saraswathy dan Suriani (kanan).

“Oleh itu saya menjemput UDA Holdings untuk menerokai potensi pembangunan ruang niaga di Sabah supaya lebih ramai usahawan kecil dan sederhana mendapat kemudahan itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan selepas pembentangan tujuh wakil kluster, pada sesi libat urus bersama persatuan dan koperasi, di Sabah International Convention Center (SICC), di sini, hari ini.


Kluster-kluster itu ialah Pembiayaan; Francais/ Halal & Pensijilan / Pembangunan Produk; Digital ekonomi/ Keusahawanan Sosial; Latihan/ Pembangunan Kapasiti; Akses Pasaran; Fasilitasi Perniagaan bagi Penjaja/ Peniaga kecil dan Pembangunan Koperasi.


Mengenai cadangan memperbanyakkan aktiviti promosi keusahawanan di peringkat akar umbi terutamanya di luar banar, Ewon berkata penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat daerah antara usaha ke arah merealisasikan cadangan itu.


Ewon bergambar bersama sebahagian peserta sesi libat urus itu.

“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan semua pegawai daerah dan penolong pegawai daerah seluruh Sabah baru-baru ini dan saya juga bersetuju pegawai daerah di Sabah diberikan taklimat khas mengenai program-progam keusahawanan kementerian kita supaya mereka boleh menjadi one stop center berkaitan skim-skim atau program-program keusahawanan kementerian.


“Sebagai makluman, terdapat 66 agensi di seluruh negara yang melaksanakan program pembangunan usahawan di bawah kementerian persekutuan dan kementerian negeri.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hanya mempunyai 10 agensi, masih ada lebih 50 agensi berada di kementerian lain.


Ewon dan Phoong Jin Zhe menunjukkan antara produk tempatan Sabah daripada usahawan tempatan yang menghadiri sesi libat urus itu.

“Ini satu cabaran besar tetapi di peringkat Sabah, pegawai daerah itu sendiri harus menjadi one stop center dan saya setuju jelajah promosi keusahawanan perlu diperbanyakkan di Sabah,” katanya dan menambah, beliau akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memastikan aktiviti promosi keusahawan di luar bandar dapat dilaksanakan.


Mengenai Kluster Pembiayaan, Ewon mengakui pembiayaan masih menjadi isu di Sabah.


Bagaimanapun katanya, Sabah masih menjadi antara terawal menerima pembiayaan, misalnya daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) satu daripada agensi di bawah KUSKOP.



Ewon dan Phoong Jin Zhe bergambar bersama sebahagian peserta.

“Peminjam AIM, paling banyak adalah daripada Sabah. Tahniah AIM kerana memastikan Sabah mendapat manfaat ini. Kita juga telah meningkatkan had pembiayaan Kontrak-i khas untuk usahawan-usahawan bumiptera daripada RM100,000 kepada RM200,000 mula Januari tahun ini.


“Hal-hal berkaitan pembiayaan lain, saya ambil maklum terutama cadangan mewujudkan kuota pembiayaan untuk usahawan Sabah dan Sarawak. Ini satu cadangan yang baik dan saya berharap ia akan diambil serius oleh kepimpinan kerajan persekutuan terutamanya kementerian kita,” katanya.


Berkenaan cadangan daripada Kluster Francais, Halal dan Pensijilan, Pembangunan Produk, Ewon berkata, satu bengkel akan dilaksanakan melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), kementerian dan agensi berkaitan pensijilan halal.




“Kita tidak tahu di Semenanjung, sama ada masalah yang sama berlaku atau tidak tetapi jika masalah itu serius di Sabah, maka bengkel itu harus fokus kepada penyelesaian masalah usahawan melibatkan pensijilan halal di Sabah,” katanya.


Mengenai kluster Digital ekonomi dan Keusahawanan Sosial (SE), Ewon berkata, beliau menghargai cadangan para peserta.

“Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan membuka pejabat perkhidmatan di Sabah tahun ini dan akan menganjurkan latihan-latihan keusahawanan sosial dan bimbingan keusahawanan di negeri ini.


“KUSKOP buat pertama kali tahun ini telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan sejumlah peruntukan yang diperlukan bagi membangunkan Keusahawanan Sosial dan saya berharap ianya dapat dinikmati oleh komuniti Keusahawanan Sosial di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, hasil pembentangan daripada sesi libat urus ini amat berharga bagi kementerian dan berharap ia dapat mewujudkan kerjasama erat antara KUSKOP dan kementerian peringkat negeri.



Antara isu dan cabaran yang dikemukakan oleh para peserta Kluster Digital Ekonomi dan Keusahawanan Sosial ialah Kesedaran mengenai model keusahawanan social, Jangkauan program yang terhad, Kurangnya bantuan/ fasilitasi khusus kepada SE dan Keterlihatan/ akses pasaran produk/ perkhidmatan yang terhad.


Oleh itu antara cadangan penyelesaian mereka ialah memperbanyakkan program kesedaran di semua peringkat masyarakat, mewujudkan dan memperkasakan komuniti SE dalam kalangan mengikut lokaliti dan komuniti itu diperuntukkan bajet untuk melaksanakan aktiviti.


Selain itu para peserta turut mencadangkan agar duta SE dilantik sebagai pemangkin mencetuskan minat belia menceburi bidang keusahawanan sosial.


Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Phoong Jin Zhe, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) Datuk Thomas Logijin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh dan Timbalan Setiausaha Tetap 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) Aftar Nurajat.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page