Ewon bangkitkan isu bantuan kebajikan, guna peruntukan Covid-19 untuk program Homeward
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon bangkitkan isu bantuan kebajikan, guna peruntukan Covid-19 untuk program Homeward


Ewon (dua kiri) bersama Shahelmey (kanan).

23 Mac 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick hari ini membangkitkan isu berkenaan bantuan kebajikan seperti bantuan warga emas dan bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak disambung oleh Kerajaan. Beliau juga mengemukakan syor agar Kerajaan mengolah semula peruntukan bantuan Covid-19 sebanyak RM173 juta dalam belanjawan Kerajaan Negeri tahun 2022 agar dapat digunakan untuk menambah peruntukan bagi program Homeward yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat. Ewon membangkitkan kedua-dua isu tersebut semasa Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmy Yahya menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini. “Dalam lawatan saya ke beberapa kampung, saya terima beberapa aduan berkenaan bantuan kebajikan yang tidak diteruskan. “Justeru saya ingin meminta penjelasan, mekanisme komunikasi yang diambil oleh Kementerian atau Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) untuk memaklumkan pihak penerima atau keluarga berkenaan sebab-sebab bantuan mereka tidak diteruskan. “Bolehkah pihak Kementerian atau JPKA memaklumkan mereka secara bertulis agar mereka memahami sebab kenapa bantuan mereka dihentikan,” kata Ewon. Menjawab perkara tersebut, Shahelmey menjelaskan bahawa bantuan kebajikan kepada penerima tidak dihentikan, tetapi perlu diperbaharui mengikut tempoh tertentu. “Sebenarnya bantuan-bantuan kebajikan tidak dihentikan, tetapi permohonan bantuan perlu diperbaharui. Itu sebabnya kita memerlukan kerjasama daripada penerima-penerima kebajikan agar menghubungi pegawai kebajikan di daerah masing-masing untuk mengemaskini maklumat-maklumat terkini yang diperlukan untuk meneruskan bantuan kebajikan mereka. “Jika sebelum ini mereka menerima bantuan kerana anak-anak belum bekerja, maka mereka perlu mengemaskini maklumat semasa. Ada bantuan yang tidak diteruskan apabila anak-anak sudah bekerja,” kata Shahelmy. Berkenaan dengan program Homeward, Ewon mencadangkan agar peruntukan bantuan bakul makanan di bawah peruntukan bantuan Covid-19 digunakan untuk menambah kemudahan dan bantuan bagi program Homeward tersebut. “Dalam belanjawan tahun 2022, sebanyak RM173 juta telah diluluskan untuk program bantuan Covid-19, antaranya bantuan bakul makanan. “Bagaimanapun, saya telah menerima jawapan daripada pihak Kementerian ke atas soalan bertulis saya berkenaan program bantuan bakul makanan yang tidak akan diteruskan oleh Kerajaan. “Berdasarkan jumlah peruntukan sebelum ini, bantuan bakul makanan ini melibatkan kos RM30 juta hingga RM40 juta, mungkin lebih. Memandangkan kerajaan tidak akan meneruskan program bantuan bakul makanan, bolehkah peruntukan bantuan Covid ini diolah semula agar menambah kemudahan dan bantuan di bawah program Homeward yang dilaksanakan oleh kementerian supaya ianya tidak lagi dipinjamkan tetapi diberikan terus kepada penerima,” kata Ewon. Berkenaan ini, Shahelmey menjelaskan bahawa program Homeward melibatkan kemudahan katil boleh laras yang dipinjamkan kepada penerima dan akan dikembalikan semula kepada kementerian apabila penerima tersebut tidak memerlukannya agar dapat dipinjamkan kepada penerima yang lain. Selain kemudahan pinjaman katil boleh laras tersebut, bantuan lain yang disediakan di bawah program Homeward ialah kerusi roda dan bantuan tunai RM500. Bagaimanapun, Shahelemy tidak mengulas mengenai syor agar peruntukan bagi program tersebut ditambah menggunakan peruntukan di bawah program bantuan Covid-19.

bottom of page