Ewon Cadang Fakulti Perubatan UMS Dikhususkan kepada Pelajar Sabah

13 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah menggubal dasar khas supaya Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikhususkan kepada pelajar perubatan dari Sabah.
Beliau berkata cadangan itu berkaitan dengan peratusan rendah doktor atau pegawai perubatan dari Semenanjung yang melapor diri untuk bertugas di negeri berkenaan.
“Terkait peratusan rendah doktor atau pegawai perubatan dari Semenanjung yang melapor diri untuk bertugas di Sabah, saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah membuat dasar khas supaya Fakulti Perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikhususkan kepada pelajar-pelajar perubatan dari Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ewon berkata penyelesaian kepada isu doktor kurang berminat bertugas di Sabah perlu mengambil kira semangat berkhidmat kepada negeri sendiri, selain kemudahan dan peluang kerjaya yang disediakan.
“Penyelesaian kepada isu doktor kurang berminat bertugas di Sabah terutama yang berasal dari Semenanjung bukan semata-mata terkait isu kemudahan elaun, fasiliti dan peluang kenaikan pangkat jawatan, tetapi lebih kepada semangat ingin berkhidmat kepada negeri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan proses pengambilan melalui UPU diperhalusi bagi menambah pengambilan anak Sabah dalam pengajian perubatan di UMS atau institusi pengajian terdekat.
“Justeru, dasar ini memerlukan pengambilan melalui proses UPU diperhalusi dengan menambah pengambilan pelajar perubatan di UMS atau institusi pengajian terdekat di kalangan pemohon pengajian perubatan dari kalangan anak-anak Sabah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan tawaran penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 disalurkan kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di UMS, dengan ikatan untuk berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian.
“Tawaran penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepertimana diumumkan dalam Belanjawan ini bolehlah disalurkan kepada anak-anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di UMS dan mereka boleh ‘diikat’ untuk terus berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian,” katanya.















Comments