top of page

Ewon Cadang Jawatankuasa Khas Parlimen Pantau Pelaksanaan Belanjawan Mengikut Negeri

nabalunews
11 hours ago
1 min read

13 Oktober 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas di Parlimen bagi memantau pelaksanaan Belanjawan Persekutuan mengikut negeri, termasuk memastikan projek pembangunan disiapkan mengikut perancangan.


Beliau berkata jawatankuasa itu boleh dianggotai Ahli Parlimen bukan anggota pentadbiran dari negeri berkenaan bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang terhadap penggunaan peruntukan awam.


Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ewon berkata fungsi pemantauan Parlimen tidak seharusnya terhad kepada tempoh persidangan sahaja, sebaliknya perlu berterusan sepanjang pelaksanaan belanjawan.


Menurutnya, mekanisme berkenaan penting bagi memastikan teguran Ketua Audit Negara diberikan perhatian dan tindakan susulan dilaksanakan dengan berkesan.


Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.


Ewon berkata penyaluran peruntukan pembangunan pada suku pertama dan penyelesaian proses perolehan selewat-lewatnya pada suku kedua boleh membantu memastikan projek dimulakan dalam tahun kewangan yang sama.


Katanya, pendekatan itu juga membolehkan masalah pelaksanaan dikenal pasti lebih awal dan tindakan pembetulan diambil sebelum kelewatan menjejaskan rakyat.


Beliau berkata pemantauan yang lebih sistematik penting bagi memastikan peruntukan besar dalam Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada hasil pembangunan yang nyata, khususnya di negeri yang berhadapan cabaran geografi dan logistik seperti Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page