Ewon cadang penubuhan Kursi Pengajian Bahasa Etnik di UPSI, biasiswa diperluas kepada pelajar
nabalunews
2 hours ago
2 min read

11 November 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi mempertimbangkan penubuhan Kursi Pengajian Bahasa Etnik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain memperluas pemberian biasiswa kepada pelajar yang mengikuti bidang berkenaan.
Beliau berkata, biasiswa itu perlu dipanjangkan kepada anak-anak Sabah dan masyarakat Orang Asli yang mengambil Pengajian Bahasa Etnik di UPSI serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurutnya, langkah itu sesuai dengan sokongan Malaysia terhadap United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP) pada 13 September 2007, yang dizahirkan semula pada World Conference on Indigenous Peoples pada 2014.
“Saya berharap biasiswa tersebut dapat dipanjangkan kepada anak-anak Sabah dan anak-anak masyarakat Orang Asli yang mengambil Pengajian Bahasa Etnik di UPSI dan UMS sesuai dengan sokongan Malaysia ke atas UNDRIP.
“Saya juga berharap agar Kementerian mempertimbangkan penubuhan Kursi Pengajian Bahasa Etnik di UPSI sebagai manifestasi kepada sokongan tersebut dan Kerajaan boleh menyumbang endowment fund kepada kursi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat, hari ini.
Ewon berkata, sebanyak RM203 juta diperuntukkan di bawah Butiran Biasiswa dan Latihan Penyelidikan Universiti bagi 2027, berbanding RM202 juta pada tahun ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian memperincikan jumlah penerima biasiswa berkenaan pada tahun lalu dan tahun ini, termasuk bilangan pelajar dari Sabah serta masyarakat Orang Asli Semenanjung.
Dalam perbahasan sama, beliau turut mencadangkan dasar khusus bagi menangani isu pegawai perubatan yang tidak melaporkan diri untuk bertugas di Sabah melalui kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Sabah.
“Saya mencadangkan agar pengambilan kemasukan ke UMS bagi Fakulti Perubatan diberikan kepada pelajar-pelajar anak-anak tempatan Sabah, diberikan biasiswa atau tajaan JPA seperti diumumkan dalam Ucapan Belanjawan dan kemudiannya diambil untuk bertugas di Sabah,” katanya.
Beliau berpandangan, isu berkenaan bukan sahaja berkaitan kemudahan, tetapi turut dipengaruhi keinginan pegawai perubatan untuk berkhidmat dekat dengan keluarga atau di tempat sendiri.
Ewon turut berharap UMS membangunkan kursus baharu yang bersesuaian dengan keperluan industri di Sabah, selain melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran.
Mengenai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), beliau mencadangkan supaya kementerian meneliti kerjasama antara universiti dengan institusi latihan TVET bagi mengeluarkan sijil kemahiran secara bersama.
“Contohnya UTeM atau UMS boleh bekerjasama dengan Montfort Youth Training Centre (MYTC) bagi mengeluarkan sijil kemahiran kepada graduannya. Ataupun MYTC boleh memilih rakan universiti termasuk universiti swasta yang ada dalam negara untuk mengeluarkan sijil kemahiran kepada graduan bimbingannya,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu memerlukan nilai tambah dari segi standard serta sokongan dana kerajaan melalui Majlis TVET Negara atau Kementerian Sumber Manusia.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai perancangan kementerian terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Tawau susulan spekulasi kemungkinan penutupan cawangan berkenaan.
Selain itu, Ewon meminta kementerian menjelaskan permasalahan yang mahu ditangani melalui undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), termasuk bila proses libat urus penggubalannya akan bermula.















Comments