top of page

Sabah pemegang taruh utama isu perhutanan negara, pendirian negeri perlu diambil kira – Ewon

nabalunews
3 hours ago
3 min read

11 November 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, pandangan dan pendirian Kerajaan Sabah perlu diambil kira dalam penggubalan undang-undang, dasar serta pelaksanaan inisiatif berkaitan perhutanan, perubahan iklim, kelestarian alam dan pasaran karbon negara.


Beliau berkata, Sabah dan Sarawak merupakan pemegang taruh utama dalam perkara berkenaan memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai liputan hutan yang luas berbanding purata nasional.


Katanya, Sabah mencatatkan liputan hutan sebanyak 62.53 peratus, diikuti Sarawak 61.52 peratus berbanding liputan hutan negara sebanyak 54.4 peratus.


“Ini menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai pemegang taruh utama dalam sebarang perkara perundangan, dasar dan inisiatif yang berkaitan dengan perhutanan, perubahan iklim, kelestarian alam dan pasaran karbon negara.


“Liputan hutan yang luas di Sabah ini sudah pastinya akan membantu komitmen Malaysia ke atas Paris Agreement dan United Nations (UN) Sustainable Development Goals (SDG),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut meminta penjelasan kementerian mengenai status semasa Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara.


“Saya juga ingin bertanya status semasa Rand Undang-Undang Perubahan Iklim Negara. Adakah pandangan serta pendirian Kerajaan Sabah selaku pemegang taruh utama telah diambil kira dalam proses pembuatan undang-undang ini?” katanya.


Beliau turut meminta kementerian menjelaskan inisiatif yang telah dilaksanakan susulan pelancaran Dasar Pasaran Karbon pada April tahun ini.


Menurutnya, walaupun tanah dan perhutanan merupakan bidang kuasa negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah diperlukan bagi memenuhi komitmen antarabangsa Malaysia.


“Walaupun Tanah dan Perhutanan merupakan Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi kerana Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa, maka sudah sewajarnya Kementerian melihat kerjasama yang lebih baik termasuk menambah dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Sabah sebagai insentif ‘mensubsidi’ liputan hutan negara,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Ewon turut menggesa supaya lebih banyak peruntukan disalurkan bagi memperluas pembinaan telaga tiub dan sistem penapisan air di Sabah, khususnya kawasan luar bandar yang masih belum menikmati bekalan air terawat.


Katanya, kerjasama berterusan JMG dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dalam pelaksanaan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) amat dialu-alukan.


“Saya berharap lebih banyak dana dapat disalurkan bagi membina telaga tiub tiub dan sistem penapisan di Sabah, termasuklah di kawasan yang saya wakili iaitu Penampang dan Kadamaian yang mempunyai kampung-kampung di perbukitan yang belum mempunyai bekalan air terawat dan berhadapan dengan bekalan air setiap kali musim kemarau,” katanya.


Sementara itu, Ewon turut meminta penjelasan kementerian mengenai pelaksanaan Kajian Geobencana Negara yang diperuntukkan sebanyak RM65 juta di bawah JMG.


Beliau ingin mengetahui kajian yang akan dilaksanakan di Sabah serta sama ada hasil kajian berkenaan akan dikongsikan dengan Kerajaan Negeri bagi membolehkan langkah pengurusan risiko bencana diambil.


Selain itu, beliau membangkitkan usaha pemulihan bekas lombong tembaga Mamut di Ranau supaya kawasan berkenaan dapat dibangunkan menjadi lokasi yang produktif kepada ekonomi Sabah.


Menyentuh usaha pemeliharaan alam sekitar, Ewon turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM411,000 bagi Projek Heart of Borneo (HOB) Negeri Sabah.


“Bagaimanapun, saya ingin mencadangkan agar Kementerian juga mengambil inisiatif baharu sekaligus memperuntukkan dana tahunan bagi menyokong atau bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri bagi melestarikan kawasan hutan dan geopark yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa seperti Kinabalu UNESCO Global Geopark dan juga boleh dimasukkan Banjaran Crocker Penampang – Keningau,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon turut membangkitkan kepentingan kerjasama kementerian bagi memastikan pembangunan perindustrian di Sabah dilaksanakan seiring dengan usaha pemeliharaan alam sekitar.


Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan melancarkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang bertemakan eco-friendly industrial park, community integration dan green technology, bersempadan dengan Taman Marin Tun Mustapha.


Katanya, Taman Perindustrian POIC Lahad Datu pula bersempadan dengan kawasan hutan paya bakau yang luas dan menjadi sebahagian daripada ekosistem kawasan berkenaan.


“Saya ingin bertanya apakah peranan dan sumbangan Kementerian dapat sama-sama menjayakan pembangunan perindustrian yang dalam masa yang sama memerlukan pemeliharaan taman dan perhutanan di sekitarnya?” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page