Ewon Cadang POIC Lahad Datu Dijadikan Kawasan Ekonomi Khas BIMP-EAGA

13 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan taman perindustrian Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu dijadikan kawasan ekonomi khas BIMP-EAGA bagi membangunkan Sabah sebagai pintu masuk timur Malaysia.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan perlu bersama-sama menjayakan usaha itu bagi memperkukuh pembangunan perindustrian di Sabah.
“Saya mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu membangunkan pembolehubah atau “enabler” perindustrian di Sabah di dalam Belanjawan ini, iaitu jalan kawasan pelabuhan dan menambahbaik lapangan terbang.
“Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan sama-sama membangunkan Sabah sebagai “eastern gateway to Malaysia” dengan menjadikan taman perindustrian Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu, Sabah sebagai “special economic zone” atau kawasan ekonomi khas BIMP-EAGA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Ewon turut mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam belanjawan berkenaan untuk membangunkan infrastruktur sokongan perindustrian Sabah, termasuk jalan di kawasan pelabuhan serta penambahbaikan lapangan terbang.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), sebagaimana pendirian yang pernah dikemukakannya melalui platform kerajaan sebelum ini.
Pada masa sama, beliau menuntut skim jaminan perniagaan diperluas kepada syarikat tempatan Sabah yang mahu mengembangkan perusahaan di taman-taman perindustrian negeri.
“Saya juga menuntut supaya skim jaminan perniagaan dapat diperluaskan kepada syarikat-syarikat tempatan Sabah yang mahu memperluaskan perusahaan mereka di taman-taman perindustrian di Sabah seperti di KKIP,
POIC, SOGIP, SAIP dan kelak di SKIP, KBIP dan KBEIP, termasuk sokongan besar kepada industri halal tempatan Sabah,” katanya.















Comments