Ewon cadang rezab padang ragut ditukar menjadi rezab tanah kampung
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang rezab padang ragut ditukar menjadi rezab tanah kampung

30 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya rezab padang ragut yang tidak lagi diperlukan ditukar kepada rezab tanah kampung.


Beliau berkata, ia adalah permintaan penduduk kampung yang mempunyai rezab padang ragut tetapi kini tidak lagi digunakan.


“Ada permintaan penduduk kampung di mana sebahagian daripada kampung mereka telah direzabkan untuk kawasan padang ragut tetapi sudah tidak ada penduduk yang mengusahakan ternakan.


“Maka adalah lebih baik rezab padang ragut itu dijadikan rezab tanah kampung kerana populasi penduduk semakin bertambah dan ada keperluan membina rumah baru.


“Selain itu sekiranya kita dapat menukar rezab padang ragut itu kepada rezab tanah kampung, kita boleh membina pelbagai kemudahan lain seperti gelanggang sukan, Taska, Tadika, dewan dan sebagainya untuk kebaikan penduduk.


“Secara khususnya, di Penampang, semasa lawatan saya di Kg.Koidupan Sugud baru-baru ini, mereka meminta supaya rezab padang ragut ini ditukar menjadi rezab tanah kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir (Menteri di Jabatan Ketua Menteri), pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Terdahulu itu, Abidin berkata, status hutan simpan di daerah Nabawan adalah masih kekal, di mana tiada pewartaan baharu mahupun pembubaran hutan simpan setakat tahun ini.  


“Mengenai status Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (Sustainable Forest Management License Agreement, SFMLA) di bawah Forest Management Unit (FMU 8), Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menamatkannya atas dasar kepentingan awam, berikutan kegagalan pihak pelesen untuk memenuhi syarat-syarat Perjanjian Lesen,” katanya.

 

Berhubung status kampung-kampung yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Tagul seperti Kg. Pohon Batu, Kg. Pangaraan, Kg. Saliliran dan Kg. Sibungali di daerah Nabawan, Abidin berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah akan mengkaji status keabsahan perkampungan ini, sama ada perkampungan tersebut wujud sebelum Hutan Simpan tersebut diwartakan ataupun selepasnya, sebelum sebarang pembubaran hutan simpan dilaksanakan.

 

Mengenai cadangan Ahli Yang Berhormat dari Nabawan untuk membenarkan pemburuan bermusim dalam kawasan hutan simpan, Abidin berkata, Kerajaan Negeri melalui jabatan yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar perlu mengkaji lebih lanjut dari segi kesesuaian kawasan hutan simpan, keperluan penguatkuasaan dan juga senarai spesis-spesis yang boleh dibenarkan untuk diburu.  


“Ini penting untuk tujuan kawalan dan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berikutan aktiviti pemburuan selaras dengan Enakmen Hutan 1968 dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

bottom of page