Ewon cadangkan bangunan Mahkamah Anak Negeri Kota Belud dibina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadangkan bangunan Mahkamah Anak Negeri Kota Belud dibina

30 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) dibina di Kota Belud.


Sambil mengalu-alukan usaha kerajaan negeri membina bangunan MAN di beberapa daerah di seluruh Sabah, beliau berharap bangunan itu juga dibina di daerah Kota Belud.


“Saya mencadangkan supaya bangunan MAN diwujudkan di Kota Belud supaya tidak perlu lagi menumpang di Pejabat Daerah.


“Dengan adanya bangunan khusus MAN di Kota Belud akan menjadi kebangaan kita sebagai masyarakat anak negeri dari pelbagai kaum Iranun, Dusun dan Bajau,” katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Menteri KKTP Datuk Masidi Manjun, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Terdahulu itu bagi menjawab pertanyaan Adun Kapayan mengenai penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri, Masidi berkata, kementeriannya sedang menyediakan kertas cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Anak Negeri.


“Kertas cadangan ini termasuklah struktur organisasi dan anggaran belanjawan. Apabila telah dimuktamadkan, ianya akan dibentangkan dalam Jemaah Menteri untuk pertimbangan,” katanya.


Bagi menjawab pertanyaan Adun Balung berkenaan pembinaan bangunan baharu Mahkamah Anak Negeri Tawau, Masidi berkata, kementeriannya mengambil berat keselesaan kakitangan dan pengguna Mahkaman Anak Negeri (MAN) dan merancang untuk membina MAN di setiap daerah.


“Sehingga kini, bangunan MAN telah dibina di Tamparuli, Paitan, Sook, Pagalungan, Ranau, Nabawan, Tongod, Putatan, dan Papar.


“Beberapa daerah juga telah dikenalpasti keperluan untuk pembinaan bangunan MAN termasuk MAN Tawau yang mana tapak pembinaan yang sesuai sedang dikenalpasti,” katanya.


Berhubung keperluan kenaikan elaun bagi Ketua- ketua Adat, Masidi berkata, satu jawatankuasa tindakan khas telah ditubuhkan untuk mengkaji keperluan kenaikan elaun Ketua-ketua Adat agar melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK).


“Sehubungan itu, kementerian telah menyediakan satu Kertas Kabinet untuk memohon persetujuan daripada Jemaah Menteri mengenai kadar kenaikan elaun Ketua Adat.


“Perkara ini akan dibentangkan kembali kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan apabila input daripada beberapa Kementerian dan Jabatan yang relevan telah didapatkan,” katanya.

bottom of page