EWON DAN JIN ZHE KECEWA KERAJAAN PN GAGAL TANGANI COVID-19EWON DAN JIN ZHE KECEWA KERAJAAN PN GAGAL TANGANI COVID-19
top of page
  • Wartawan Nabalu News

EWON DAN JIN ZHE KECEWA KERAJAAN PN GAGAL TANGANI COVID-19


Ewon (kiri) dan Jin Zhe

27 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang Sabah menzahirkan kekecewaan atas kegagalan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik Covid-19 di negara ini.


Menurut Adun Kadamaian yang juga Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang yang juga Ketua Pemuda DAP Sabah (DAPSY) Phoong Jin Zhe, semalam sahaja jumlah kes terbaharu Covid-19 seluruh negara mencecah 7,478 kes di mana 229 kes di Sabah



“Memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama, tetapi Kerajaan perlu mendepani semua yang lain bagi mengurus solusi ke atas pandemik ini.


“Dalam carta dunia, Malaysia merekodkan bilangan kes positif per juta populasi yang lebih besar berbanding negara India.


“Di mata dunia juga, Malaysia ditertawakan kerana menjadi satu-satunya pemerintahan yang telah menguburkan demokrasi dengan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di bawah Ordinan Darurat,” katanya dalam kenyataan bersama, di sini, hari ini.


Menurut Ewon, Ordinan Darurat yang dikatakan untuk memerangi Covid-19 ternyata gagal selepas lebih empat bulan dikuatkuasakan.



“Kes baharu semakin bertambah, variant baharu masuk ke negara ini bertambah, hospital awam semakin sesak, jumlah kematian akibat Covid-19 semakin bertambah,” katanya.


Katanya lagi, selepas satu tahun berhadapan dengan pandemik ini melalui pelaksanaan pelbagai rantaian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata S.O.P yang diperkenalkan gagal mengawal pandemik ini kerana ia tidak konsisten dan bersifat double standard.


“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan peruntukan sehingga RM5 billion khusus untuk perang ke atas Covid-19. Namun timbul persoalan, bagaimana peruntukan ini digunakan kerana hasilnya belum dirasakan majoriti rakyat terutama program imunisasi vaksin.


“Rakyat diminta mendaftar untuk program imunisasi vaksin, tetapi sistem dan laman sesawang yang dibina gagal berfungsi dengan berkesan. Malah rakyat mempersoalkan peruntukan besar sehingga hampir RM70 juta boleh menggunakan perisian 'cloud flare' yang boleh diperolehi secara percuma,” katanya.



Adun Kadamaian dan Luyang turut mempersoalkan kenapa Kerajaan Sabah tidak memulakan perolehan vaksin sendiri dan program imunisasi sendiri bagi melengkapkan usaha yang dibuat di peringkat persekutuan.


“Bukankah kita sudah diberi jaminan sebelum ini bahawa lebih RM1 bilion boleh diperolehi daripada Petronas di bawah Enakman Cukai Jualan Produk Petroleum yang kita kenakan sejak tahun 2019? Kenapa tidak gunakan sebahagian duit ini untuk program vaksinasi rakyat Sabah sendiri?


“Kami bersedia menyokong segala usaha yang dibuat melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Jika ianya dibuat melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, maka ianya menjadi tanggungjawab bersama. Tetapi jika ianya hanya dibuat melalui Ordinan Darurat, maka hanya di pihak Kerajaan sahaja yang bertanggungjawab.


“Jika anda tidak mampu bekerja untuk menjaga lebih 30 juta orang di negara ini, beri laluan kepada seseorang yang mempunyai passion, komitmen, fokus dan political will,” katanya.


Mereka juga mahu agar Ordinan Darurat ditamatkan supaya pengurusan memerangi pandemik Covid-19 menjadi tanggungjawab semua.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page