Ewon Gesa Pejabat Agensi Persekutuan Bantuan Usahawan Diperluas ke Pedalaman Sabah

13 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa pejabat agensi Kerajaan Persekutuan yang menyediakan bantuan kepada usahawan diperluas ke daerah pedalaman Sabah bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan dan perkhidmatan pembangunan perusahaan.
Beliau berkata liputan perkhidmatan agensi berkenaan tidak seharusnya tertumpu di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan sahaja, sebaliknya perlu dikembangkan ke Keningau, Kota Marudu, Telupid dan Beaufort.
“Saya menggesa supaya pejabat agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif bantuan PMKS ini mesti diperluaskan di Sabah, tidak hanya di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan sahaja, tetapi harus dikembangkan ke daerah pedalaman seperti di Keningau, Kota Marudu, Telupid dan Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.
Ewon berkata Sabah sewajarnya mendapat liputan pejabat agensi Persekutuan yang lebih banyak, termasuk SME Corp, SME Bank, Agrobank, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menurutnya, negeri-negeri di Semenanjung yang mempunyai jarak antara satu sama lain tidak terlalu jauh turut mempunyai pejabat agensi berkenaan.
“Kalau Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dengan jarak yang tidaklah terlalu jauh mempunyai pejabat-pejabat agensi Persekutuan ini, begitu juga dengan Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, maka Sabah sepatutnya mendapat liputan perkhidmatan pejabat agensi-agensi Persekutuan yang lebih banyak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan skala perniagaan supaya usahawan tempatan lebih berdaya saing.
“Bagaimanapun aktiviti ekonomi di Sabah tidak boleh dibiarkan atau dibangunkan pada tahap kategori mikro dan kecil sahaja. Usahawan-usahawan PMKS di Sabah mesti dibantu untuk diskalakan supaya mereka boleh bersaing ke arah pasaran modal dan lebih berdaya saing di rantau ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif pembiayaan dan pelbagai bantuan kepada usahawan PMKS yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Ewon turut merakamkan penghargaan atas pengiktirafan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan bahawa usahawan mikro di Sabah merupakan penerima terbanyak bantuan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).















Comments