Ewon Gesa Peruntukan Khusus Sekolah Mubaligh, Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam Ditambah

13 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan khusus untuk sekolah mubaligh serta menambah bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata sekolah mubaligh sewajarnya menerima peruntukan khusus yang tidak kurang daripada peruntukan disediakan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Menurutnya, Belanjawan 2027 menyediakan peruntukan khusus untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJKT, Sekolah Agama Rakyat dan institusi tahfiz, namun beliau mahukan penjelasan mengenai peruntukan pembangunan sekolah mubaligh.
“Saya ingin tahu mengenai peruntukan pembangunan bagi sekolah-sekolah mubaligh di negara ini yang sepatutnya juga harus diberikan peruntukan khusus. Apakah Belanjawan 2027 ini telah meminggirkan hak mereka untuk mendapatkan peruntukan khusus dalam belanjawan?
“Saya menuntut agar peruntukan khusus untuk sekolah-sekolah mubaligh disediakan dengan tidak kurang daripada peruntukan yang disediakan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Mengenai bantuan RIBI, Ewon berkata beliau mengalu-alukan peruntukan bagi pelbagai inisiatif agama Islam, namun keperluan rumah ibadat bukan Islam juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya juga mengalu-alukan belanjawan untuk pelbagai inisiatif bagi agama Islam. Pada masa yang sama, keperluan bantuan bagi Rumah Ibadat Bukan Islam juga harus ditambah sesuai dengan prinsip Rukun Negara – Kepercayaan Kepada Tuhan, yang mahu rakyat negara kita beragama,” katanya.
Beliau berkata kebebasan beragama merupakan antara tuntutan dan syarat penubuhan Malaysia, khususnya bagi Sabah, justeru peruntukan bantuan RIBI seharusnya ditambah.
Pada masa sama, beliau menggesa garis panduan bantuan itu disemak supaya mengambil kira keadaan unik Sabah, terutama kedudukan rumah ibadat di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Menurutnya, banyak rumah ibadat bukan Islam, khususnya gereja, dibina di rizab kampung atau kawasan tanah adat komuniti yang tidak mempunyai geran tanah.
“Garis panduan bantuan RIBI harus diubah mengambil kira citra Sabah, dan saya kira juga Sarawak. Garis panduan yang ada sekarang tidak peka dengan situasi sebenar di wilayah Borneo Malaysia,” katanya.
Ewon turut menegaskan bahawa perundangan dan garis panduan bantuan perlu lebih mesra kepada keperluan masyarakat bagi memastikan prinsip Rukun Negara dapat dihayati.
“Bagaimana mungkin prinsip-prinsip Rukun Negara dapat menyerap kepada jiwa rakyat sedangkan perundangan dan garis panduan tidak mesra kepada keperluan mereka?” katanya.















Comments