Ewon hadiri taklimat pembangunan Pejabat Daerah Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon hadiri taklimat pembangunan Pejabat Daerah Penampang

Ewon (tengah), Francis (kiri) dan Jannie.

2 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menghadiri taklimat pembangunan daerah, di Pejabat Daerah Penampang, di sini, hari ini.


Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau di Pejabat Daerah Penampang selepas diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Penampang yang baharu pada pilihan raya umum baru-baru ini.


Taklimat pembangunan itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang dan semua ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di Penampang.


Ewon berharap dapat menjalin kerjasama mesra dengan semua ketua jabatan serta agensi kerajaan di Penampang bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan isu-isu pembangunan di kawasan ini.


“Saya berharap kita dapat bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya di Penampang. Apa yang baik untuk rakyat, baik untuk penjawat awam dan juga kerajaan.


“Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan adanya kerjasama dan persefahaman semua pihak berkaitan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ewon turut mengulangi cadangannya untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang.


“Jika ada isu-isu berada di luar kawalan jawatankuasa ini, maka menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk mengangkatnya ke Dewan Rakyat ataupun Kabinet Kerajaan,” katanya.


Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengemukakan beberapa isu yang dibangkitkan penduduk Penampang pada program bertemu rakyat semasa kempen pilihan raya lalu.

Antaranya isu pemilikan tanah atau geran tanah di Kg.Togudon, isu rezab padang ragut di Kg.Koidupan Sugud, isu pengeluaran lesen Taska di Penampang dan lampu jalan di jalan Ramayah.


Mengenai permohonan tanah di Kg.Togudon, wakil Jabatan Tanah menjelaskan bahawa kawasan itu kurang sesuai untuk aktiviti pertanian kerana tanah tinggi melebihi kecuraman 25 darjah yang dikategorikan sebagai cerun curam. Ini menyebabkan permohonan penduduk kampung pada tahun 2021 dibatalkan.


Ewon berkata, beliau akan berbincang dengan semua pihak berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian mengenai masalah itu.


“Di Kampung saya di Kiau, hampir keseluruhan kawasan itu adalah tanah tinggi dan curam melebihi 25 darjah tetapi  tanah itu lah yang diusahakan oleh penduduk kampung bercucuk tanam mencari sumber pendapatan untuk menyekolahkan anak-anak mereka sejak puluhan tahun yang lalu.

“Saya bersyukur kerana melalui perbincangan dengan Jabatan Tanah dan penduduk kampung, kini penduduk Kg.Kiau telahpun menerima geran tanah melalui Program PANTAS dan fasa kedua akan diteruskan di kampung itu selepas ini,” katanya.


Sementara itu Francis berkata, terdapat tiga isu utama di Penampang iaitu isu banjir, kesesakan lalulintas dan kekurangan tempat letak kereta dan rumah setinggan.


Dari segi bekalan air terawat, beliau berkata sebanyak 80 peratus penduduk daerah Penampang mendapat bekalan air terawat.

“Terdapat beberapa kawasan yang belum mendapat bekalan air terawat iaitu Sugud-Maang, Timpango Laut, Minintod, Moyog (atas), Limbanak (hujung), Sosopon Notorus, Tampasak Kimongis Tindai, Pomotodon, Ulu Sarapung dan Babagon,” katanya.


Bagi mengatasi masalah bekalan air itu,  Jabatan Air Daerah Penampang membuat kajian dan rekabentuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan berkenaan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page