top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon kunjungi TEKUN Nasional


Ewon (kiri) mendengar penerangan ringkas daripada Adam (kanan) mengenai program dan pencapaian Tekun Nasional yang dipamerkan di Koperasi Rakan Tekun Berhad.


16 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengunjungi dan menghadiri taklimat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, di pejabat agensi itu, di sini, kelmarin.


Tekun Nasional adalah antara angesi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Agensi-agensi lain ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).


Ewon (dua kiri) menandatangani buku tetamu, turut kelihatan Suriani (kiri), Zamri (dua kanan) dan Adam (kanan).

Turut hadir pada taklimat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad.


Ewon berkata, Tekun Nasional adalah antara pilihan popular dan utama bukan sahaja para peniaga kecil-kecilan tetapi juga para kontraktor kerana proses membuat pinjaman yang mudah dan pantas.


“Tekun Nasional bukan sahaja menyediakan pembiayaan mikro tetapi juga khidmat bimbingan dan sokongan serta budaya keusahawanan.


“Saya akan terus memberi kerjasama terbaik kepada Tekun Nasional dalam usaha membela dan membangunkan lagi peniaga-peniaga kecil dan sederhana di negara ini yang sememangnya memerlukan bantuan daripada kerajaan melalui pinjaman atau program sokongan yang disediakan Tekun Nasional,” katanya selepas taklimat itu.


Ewon (duduk tengah), Saraswathy (duduk tiga dari kiri), Suriani (tiga dari kanan), Adam (duduk dua kanan) dan Zamri (duduk dua dari kiri) bergambar bersama selepas taklimat itu.

Setakat ini Tekun Nasional mempunyai 170 Pejabat yang beroperasi di 222 kawasan Parlimen seluruh negara.


Ewon berkata, Tekun Nasional akan mengadakan sambutan 25 tahun pada 2023 dan pastinya menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat negara ini terutamanya para peniaga dan usahawan kerana Tekun Nasional antara agensi yang membantu mereka berjaya dalam keusahawanan.


Sementara itu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato Adam Abd.Ghani berkata, Tekun Nasional menyediakan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan dari enam bulan sehingga 10 tahun.


Katanya, kaedah pembayaran juga mesra pelanggan dengan pelbagai pilihan antaranya perbankan internet, mesin deposit tunai, cek atau tunai.


Ewon melawat Koperasi Rakan Tekun Berhad yang mempamerkan pelbagai jenis produk tempatan yang dihasilkan oleh usahawan Tekun Nasional.

“Dari segi pencapaian Tekun Nasional, sejak tahun 1998 sehingga November 2022, Tekun Nasional telah membiayai pinjaman sebanyak RM8.01 bilion kepada 736,528 usahawan,” katanya.


Adam berkata, bagi tahun ini sahaja iaitu Januari hingga November, Tekun Nasional telah memberikan pinjaman sebanyak RM1.06 bilion kepada seramai 70,463 usahawan seluruh Malaysia.


“Daripada jumlah keseluruhan pembiayaan pada tahun ini Selanggor mencatatkan bilangan peminjam tertinggi seramai 12,043 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM180,781,800 dan diikuti Sabah dengan pembiayaan RM137,209,000 (8,988 peminjam),” katanya.

Comments


bottom of page