Ewon laksana wawasan Sabah First di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

3 Disember 2025
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan wawasan Sabah First dalam kementerian yang diterajuinya.
Beliau berkata, bagi mencapai wawasan tersebut, beberapa agenda utama akan diberi tumpuan besar, antaranya membangunkan ekosistem pelaburan dan keusahawanan di Sabah yang mesra pelabur dan mesra usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini harus menjadi tunjang kepada aktiviti ekonomi Sabah. Itu adalah Sabah First!
“Kita juga akan membangunkan kualiti produk dan perkhidmatan PMKS agar memenuhi standard pasaran domestik dan antarabangsa serta mampu bersaing dengan usahawan di luar Sabah.

“Selain itu, kita akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kementerian dan agensi-agensi berasaskan semangat untuk sentiasa melaksanakan yang terbaik, dengan tadbir urus cekap, we must facilitate, not frustrate khususnya kepada komuniti PMKS Sabah. Itu juga adalah Sabah First,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memulakan tugasan rasmi pertama di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, pada Rabu.
Pada sebelah pagi, Ewon menghadiri mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan Sabah.
Ewon, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata perjuangan politik Sabah First oleh UPKO adalah untuk mendapatkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pembayaran balik 40 peratus hasil Sabah yang kekal sebagai teras utama perjuangan parti melalui Kerajaan Sabah.

“Melalui kementerian ini, saya telah menetapkan wawasan Sabah First iaitu membangunkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan, sama ada sebagai usahawan atau bekerja dengan usahawan.
“Bermula esok, saya akan mengunjungi agensi-agensi kementerian untuk mendapatkan taklimat serta berkongsi wawasan dan fokus besar kepimpinan saya,” katanya.
Menurutnya, beliau bersedia memimpin kementerian itu dan mahu ia menjadi sebuah pasukan Sabah First yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat Sabah.
Ewon turut memaklumkan bahawa beliau akan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu hari seminggu untuk bertemu pemegang taruh serta turun ke lapangan berjumpa komuniti PMKS dan pihak berkepentingan lain.

“Saya juga akan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu hari seminggu untuk melaksanakan mandat saya sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang,” katanya.
Mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon berkata walaupun beliau berimpian melihat kerajaan negeri ditubuhkan oleh parti-parti lokal, beliau menghormati kebijaksanaan Ketua Menteri dalam membuat keputusan tersebut.
“Ini sama sekali tidak memadamkan agenda Sabah First yang saya dan UPKO perjuangkan,” katanya.


















Comments