Ewon lancar DaKoM 2030, sasar tiga KPI pembangunan koperasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancar DaKoM 2030, sasar tiga KPI pembangunan koperasi

12 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Peluncuran Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2023 yang mensasarkan tiga KPI utama pembangunan koperasi.


Beliau berkata, tiga KPI utama itu ialah meningkatkan perolehan sektor koperasi, peningkatan koperasi aktif dan Indeks Kesejahteraan Anggota (IndeKA).


“Perolehan sektor koperasi pada tahun ini adalah RM45.5 bilion dan DaKoM 2030 mensasarkan perolehan sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM100 bilion pada 2030 menerusi empat teras dasar dan 20 strategi.


“Kerangka DaKoM 2030 adalah kesinambungan dasar kementerian sebelum ini dengan hala tuju strategik bagi pembangunan koperasi dalam meningkatkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial anggotanya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Peluncuran Dasar Koperasi Malaysia (DaKom)2030, di Hotel Tenera Bangi, di sini, hari ini.


Ewon berkata, empat teras dasar dan 20 strategi telah dibangunkan untuk memacu pencapaian visi ini iaitu mentransformasi sokongan koperasi kepada ekosistem holistic dan kondusif, meningkatkan kefahaman dan penghayatan prinsip teras koperasi, meningkatkan kapasiti dan keupayaan koperasi dan memajukan sector koiperasi sebagai wahana pembangunan sosioekonomi.


Terdahulu ketika berucap, Ewon berkata kementerian komited meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan berkoperasi di kalangan masyarakat menerusi Program Memasyarakatkan Koperasi di pelbagai lapangan.


“Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 15,315 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan seramai 7.31 juta orang, syer dan terkumpul RM16.98 bilion serta aset terkumpul RM159.61 bilion.


“Sungguhpun begitu, aktiviti ekonomi koperasi mengalami beberapa kekangan dalam konteks perundangan di peringkat nasional yang membataskan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi berprospek tinggi.


“Ini kerana, beberapa akta perundangan yang dikawal selia oleh Kementerian dan agensi Kerajaan yang kurang mesra atau membataskan perniagaan koperasi,” katanya dan berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan khas membantu gerakan koperasi.


Selain itu katanya, gerakan koperasi juga wajar dipertimbangkan menikmati insentif cukai sama seperti yang dinikmati Syarikat, antaranya insentif cukai bagi Taraf Perintis dan Relief Kumpulan.


“Kementerian menerusi SKM bersetuju mengurangkan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) daripada 15% (caruman wajib) kepada 13% mulai tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2023 sehingga 30 November 2025.


“Ini bermakna koperasi dapat meningkatkan potensi pendapatan boleh guna untuk aktiviti perniagaannya dengan lebihan kecairan tunai berjumlah hampir RM20 juta. Kadar ini akan kembali kepada kadar asal secara berperingkat mengikut ketetapan SKM kelak.


“Saya berharap pengurangan kadar KWRS ini dapat memberi kelegaan kepada koperasi untuk bangkit semula dan memulihkan perniagaannya serta mengalami pertumbuhan yang lebih baik,” katanya..

bottom of page