Ewon lancarkan Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancarkan Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad


Ewon (dua dari kanan) ketika melancarkan Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad.

23 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad, pada Program Usahawan MADANI dan Penyampaian Bantuan Awal Pengajian di sini, hari ini.


“Saya berharap dengan pelancaran koperasi ini dapat meningkatkan minat dikalangan masyarakat untuk berkoperasi dan menjadikan gerakan koperasi sebagai satu budaya dan satu kegiatan ekonomi di daerah ini.


“Agensi-agensi di bawah kementerian saya juga telah menyampaikan ceramah dan taklimat berkenaan peranan dan program-program keusahawanan dan koperasi di agensi masing-masing.


“Penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam program dan taklimat seumpama ini dapat membantu menghebahkan peranan dan perkhidmatan masing-masing kepada rakyat akar umbi,” katanya.



Ewon berkata, setakat ini sebanyak 1,765 buah koperasi berdaftar di Sabah dengan keanggotaan seramai 361,126 orang, syer dan yuran terkumpul sebanyak RM244.10 juta, aset terkumpul RM868.35 juta dengan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM329.65 juta.


“Daripada bilangan koperasi tersebut sebanyak 29 koperasi berdaftar di Parlimen Libaran dengan keanggotaan seramai 9,282 orang. Saya yakin bilangan ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya melalui SKM telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mendekati rakyat menyalurkan maklumat terkini mengenai koperasi dari segi peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi dan insentif Kerajaan.


“Ini termasuklah menyampaikan kemudahan yang ditawarkan seperti Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300 Ribu dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) sehingga RM30 juta daripada SKM,” katanya.


Turut hadir Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang dan Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad Dr. Peter Jr Naintin.


bottom of page