Ewon lancarkan penyukatan tanah PANTAS Kg Sayap dan Kg Terintidon, sasaran 1500 ekar tanah disukat
- Wartawan Nabalu News
- 2 days ago
- 2 min read

2 Mei 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bagi Kg Sayap dan Kg Terintidon yang mensasarkan seluas 1,500 ekar tanah penduduk akan disukat.
Ewon menyatakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS bagi kedua-dua kampung tersebut dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah yang telah lama diperjuangkan oleh penduduk kampung.
“Sejak menjadi Wakil Rakyat Kadamaian pada tahun 2018, pemilikan tanah oleh rakyat Kadamaian merupakan antara tumpuan utama saya. Sehingga hari ini, kita telah laksanakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS di Kg Kiau dan Kg Tambatuon. Geran-geran tanah yang telah disukat di bawah program ini juga telah diberikan kepada pemilik tanah.
“Pada tahun ini, progam PANTAS akan dilaksanakan di tiga lagi kampung di Kadamaian iaitu Kg Sayap, Kg Terintidon dan Kg Melangkap. Hari ini saya bersukacita melancarkan penyukatan tanah PANTAS bagi Kg Sayap yang akan melibatkan sasaran 1,000 ekar dan Kg Terintidon melibatkan 500 ekar.

“Kita juga akan melancarkan penyukatan tanah PANTAS bagi Kg Melangkap dalam masa terdekat ini,” katanya.
Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan pemilikan geran tanah di kedua-dua kampung serta projek menaiktaraf Jalan Sayap yang sedang dilaksanakan akan menjadi “game changer” kepada aktiviti ekonomi rakyat.
“Dalam kerajaan terdahulu, saya telah membawa menteri dan timbalan menteri pembangunan luar bandar keperluan menaiktaraf jalan-jalan utama di Kadamaian termasuk lawatan ke hujung Jalan Sayap. Sebab itulah kita melihat hasilnya kini, atas usaha kita, projek menaiktaraf Jalan Sayap kini rancak dilaksanakan.

“Hari ini pula kita melancarkan penyukatan tanah PANTAS Kg Sayap dan Kg Terintidon. Dengan adanya geran-geran tanah yang dimiliki oleh penduduk kampung, ianya akan membuka akses kepada bantuan kerajaan dan juga pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan. Ini penting kepada pemilik tanah yang mahu membangunkan tanah mereka untuk pelancongan ataupun pertanian.
“Kedua-dua projek naiktaraf Jalan Sayap dan penyukatan tanah PANTAS ini merupakan “game changer” yang akan merancakkan aktiviti ekonomi di sini selepas siap dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Menurut Ewon, potensi Kadamaian sebagai pusat tumpuan aktiviti pelancongan juga sedang dibangunkan sebagai nilai tambah kepada aktiviti pelancongan Gunung Kinabalu.
“Selama ini, aktiviti pelancongan Gunung Kinabalu banyak berorientasikan kepada Kundasang, Ranau. Sudah tiba masanya potensi Kadamaian dibangunkan dengan lebih baik. Kita perlu bangunkan Kadamaian sebagai nilai tambah pelancongan Gunung Kinabalu seperti laluan mendaki dari Kg Kiau serta pembangunan pelancongan komuniti.

“Sebab itulah saya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan-peruntukan pembangunan khususnya infrastruktur jalan raya, pemilikan tanah dan premis keusahawanan yang diperlukan untuk merancakkan aktiviti pelancongan di Kadamaian. Kita mahu bersaing untuk mendapatkan pelancong-pelancong datang ke Kasamaian,” katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa pelancaran Program PANTAS sempena dengan sambutan Pesta Kaamatan Kg Sayap di sini, hari ini. Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan bangunan dewan Tamu Desa Kg Sayap yang dibina dengan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta pelancaran Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi di kampung tersebut.
Ewon turut menyampaikan sumbangan peruntukan khas menteri sebanyak RM50,000 kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg Sayap dan penyampaian cermin mata di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PERNAS.
Comments