- Wartawan Nabalu News
Ewon lawat mangsa banjir di Kg.Sugud, terima aduan bantuan tidak adil

6 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, hari ini, meluangkan masa melawat beberapa rumah di Kampung Sugud yang terjejas banjir ekoran hujan lebat semalam.
Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Timbalan Ketua Bahagian UPKO Penampang Carl Moosom dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan Penampang.
Dalam lawatan itu Ewon turut menerima aduan dan keluhan penduduk kampung mengenai masalah banjir yang sering berlaku di kampung mereka.

“Penduduk memaklumkan kepada saya, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir tahun lepas tidak adil kerana banyak yang tercicir dan ada yang tidak terkesan tetapi diberikan bantuan.
“Saya amat bersimpati dengan keadaan yang menimpa mereka. Oleh itu, antara aspirasi saya untuk rakyat Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah memastikan perkhidmatan dan bantuan pasca banjir dapat dilaksanakan dengan telus dan adil.

“Saya berharap melalui pengwujudan Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang masalah-masalah utama di sini terutamanya banjir dapat diatasi atau sekurang-kurangnya kesan banjir dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Sugud yang turut terjejas banjir Jeofrrin Likius berkata, dalam tahun ini sahaja, sudah dua kali berlaku banjir di kampung itu.
“Banjir paling teruk melanda kampung ini pada September tahun lalu. Saya berharap projek tebatan banjir di Sungai Sugud yang sudah dimulakan baru-baru ini dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung kami.
“Dari segi bantuan untuk mangsa banjir di sini, wakil rakyat ada juga melawat dan bagi bantuan tetapi satu kali saja pada tahun lalu, selepas itu dia tidak pernah masuk sini sudah,” katanya dan menambah kebanyakan bantuan yang diterima oleh mangsa banjir di Kg.Sugud, daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, pada pilihan raya umum kali ini, mereka inginkan seorang wakil rakyat yang peka dan prihatin terhadap masalah penduduk kampung.
“Kami mahu seorang pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara di Parlimen tetapi juga rajin turun padang bertemu rakyat dan mendengar masalah rakyat,” katanya.
Jeofrrin berkata, tiga jambatan konkrit di kampung itu yang rosak teruk dan dihanyutkan arus deras semasa banjir besar melanda kampung itu tahun lalu belum dibaiki sehingga sekarang.

“Penduduk kampung terpaksa berjalan kaki sebab jambatan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan. Keadaan ini amat menyusahkan terutamanya apabila berlaku kecemasan.
“Satu daripada tiga jambatan konkrit itu adalah laluan utama penduduk Kg. Kaanapan Sugud,” katanya dan menambah, selain kerosakan jambatan konkrit banyak keperluan mendesak penduduk kampung termasuk pemasangan gabian.