- Wartawan Nabalu News
Ewon luangkan masa kunjungi 6 kampung di DUN Kadamaian

31 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Sebagai penutup tirai tahun 2022, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan program turun padang hari ini dengan mengunjungi enam buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu meluangkan masa mengunjungi Kg.Sumbilingon, Kg Tamu Darat, Kg Lingkubang, Kg Melangkap, Kg Tambatuon dan Kg Kiau.
Di Kg.Sumbilingon, Ewon menyampaikan bantuan dan sumbangan berupa makanan kepada mangsa banjir daripada tiga kampung iaitu Kg.Pangi, Kg. Pompod dan Kg. Pahu.

Selepas itu beliau meluangkan masa menziarahi sebuah keluarga yang kematian ibu di Kg Tamu Darat sebelum meneruskan program di Kg.Lingkubang.
Beliau kemudiannya melawat Kg Melangkap untuk meninjau kerosakan tebing sungai dan jambatan gantung, di Kg Tambatuon meninjau kerosakan jalan raya dan jalan pertanian seterusnya meninjau kerja-kerja baikpulih jalan utama di Kg Kiau.
Ewon berkata, walaupun sibuk sebagai menteri persekutuan dan Ahli Parlimen Penampang, namun keperluan penduduk Kadamaian tidak pernah diabaikan.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya akan sentiasa turun padang di kawasan Penampang dan Kadamaian selain memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan dan koperasi di seluruh negara,” katanya.