top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon mahu bangunkan Penampang sebagai daerah perusahaan berasaskan digital


Ewon ketika ditemui pemberita selepas program itu.

11 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Penampang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah daerah perusahaan berasaskan digital, kata calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Sehubungan itu beliau berkata, ia adalah antara wawasannya untuk membangunkan Penampang sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Penampang berpotensi untuk dibangunkan sebagai satu daerah yang berupaya memberikan perkhidmatan perindustrian berasaskan digital dengan kemudahan infra internet atau jaringan komunikasi yang terbaik untuk mengangkat potensi ekonomi berasaskan digital.


“Ini antara satu daripada banyak wawasan saya untuk rakyat Penampang pada PRU15,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Kg.Timpangoh Laut Sugud, di sini, hari ini.



Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, masih ada kampung-kampung di daerah ini yang menghadapi masalah liputan internet termasuk di Kg.Timpangoh Laut Sugud.


“Oleh itu apabila kita berkempen melalui media sosial, mereka tidak dapat menerima isu-isu yang kita perjelaskan di media sosial kerana tiada liputan internet di kampung mereka. Ini juga antara kekangan kita dalam kempen pilihan raya,” katanya.


Katanya lagi, beliau juga ingin melihat Penampang dibangunkan sebagai bandaraya kedua di Pantai Barat.



“Ini tidak bermakna, kita membina bangunan tinggi-tinggi seperti di Kota Kinabalu, tetapi konsep ‘pembandaraya’ dari segi perkhidmatan liputan internet yang terbaik untuk memudahkan warga Penampang mengusahakan perniagaan secara dalam talian atau berasaskan digital,” katanya.


Mengenai kempen yang telah berlangsung selama enam hari, Ewon berkata, beliau telah menemui ribuan rakyat Penampang dan pada masa yang sama menerima banyak aduan daripada penduduk kampung.


“Mereka mengatakan, jarang sekali berjumpa dengan wakil rakyat (Ahli Parlimen) yang mereka pilih pada 2013 dan dipilih semula pada 2018.


“Ini menjadi satu amaran kepada saya untuk melakukan yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya mengambil keluhan-keluhan ini sebagai satu tanggungjawab untuk memastikan mandat mereka tidak disia-siakan, jika diberikan kepada saya. Maka tugas saya sebagai ahli parlimen Penampang antara lainnya, turun padang secara konsisten berjumpa dengan penduduk kampung di kampung atau taman perumahan atau kawasan kedai.



“Melalui progam turun padang, kita dapat mengenalpasti masalah, mendengar cadangan dan berbincang dengan semua segmen masyarakat apa yang terbaik untuk kita laksanakan,” katanya.


Mengenai penerimaan rakyat Penampang, Ewon berkata: “Saya cukup yakin, penerimaan setakat ini cukup baik sekali”.


“Cuma saya akui, persaingan ini cukup sengit. Kedua-dua mereka (Datuk Darell Leiking dan Kenny Chua) adalah kawan saya dan saya perlu bekerja keras lagi untuk memenangi hati rakyat Penampang untuk menjelaskan tawaran PH dan aspirasi saya untuk Penampang,” katanya.



Beliau berkata, pada masa yang sama, beliau juga akan memberi penjelasan atau ulasan mengenai halatuju atau isu yang dimainkan parti bertanding contohnya Warisan menggunakan Blok Borneo dan GRS menggunakan isu gabungan parti-parti tempatan.


“Saya menjelaskan semua isu ini setiap kempen dan saya yakin rakyat Penampang cukup bijaksana untuk membuat keputusan pada 19 November ini,” katanya.



Comments


bottom of page