Ewon mahu kerjasama erat KUSKOP dan agensi diperkukuh beri perkhidmatan cemerlang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu kerjasama erat KUSKOP dan agensi diperkukuh beri perkhidmatan cemerlang

9 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR : Kerjasama erat antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensinya, perlu diperkukuhkan bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada semua usahawan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi di negara ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata seluruh warga KUSKOP dan agensinya adalah penyumbang kepada terlaksananya semua dasar dan perancangan Kementerian ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.


Katanya sambutan Hari Raya dan majlis rumah terbuka di KUSKOP dapat mengeratkan ukhuwah dan menguatkan semangat kerja berpasukan di antara warga KUSKOP dengan agensi.


Ewon berkata demikian dalam ucapannya di majlis perhimpunan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama warga Kementerian dan agensi-agensinya di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.


"Saya berharap ukhuwah dan keakraban di antara warga KUSKOP dan agensi akan diteruskan dan dapat diterjemahkan kepada semangat kerja berpasukan yang utuh dalam pelaksanaan program-program Kementerian.


Ewon yakin KUSKOP sedang bergerak di landasan yang betul ke arah mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan di dalam Perancangan Strategik Kementerian Tahun 2024 sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).


Menurut Ewon, sejak beberapa bulan yang lepas, KUSKOP telah menganjurkan dan menyertai pelbagai program MADANI.


Antaranya Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 pada 23-25 Februari lalu di Simpang Empat, Perlis, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) pada 30 Mac lalu di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor dan Program MADANI Rakyat Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mei lalu.


"Program-program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat. Selain mendapat maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian, para pengunjung juga dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga yang berpatutan yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kenaikan kos sara hidup mereka," katanya.


Untuk rekod, Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI di Perlis telah mencatatkan jualan sebanyak RM272,213.86 dan seramai 12,332 orang pengunjung.

Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan di Sungai Buloh pula telah mencatatkan jualan sebanyak RM435,480.00 dengan 3,629 orang pengunjung.


Manakala Program MADANI Rakyat di Pulau Pinang berjaya merekodkan jualan bernilai RM307,995.20 dan mencatatkan kedatangan 289,228 orang pengunjung.


"Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas komitmen semua yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program-program tersebut," katanya.


Ewon berkata baru-baru ini juga beliau telah menyertai SME Future Day 2024 anjuran German Association for Small and Medium-Sized Business (BVMW) di Berlin dan seterusnya mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja beliau ke Berlin dan Hamburg di Jerman, pada 10 hingga 15 Mac lalu.


"Semasa berada di sana, saya bersama-sama delegasi negara yang mengiringi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyertai mesyuarat-mesyuarat dengan pemain industri di Jerman seperti Siemens Energy, Infeneon Technologies, Airbus Group dan Nexperia.


"Antara hasil yang diperolehi dalam sesi bersama pemain industri tersebut adalah potensi pelaburan dan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pemindahan teknologi, serta peluang untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia turut terlibat dalam rantaian bekalan global mereka yang luas dan berpengaruh," katanya.


Selain itu Ewon berkata pada 28 hingga 30 April yang lalu, beliau juga telah mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik ke-11 di Jordan.


Dalam persidangan itu, Ewon telah menyampaikan Kenyataan Menteri dalam Sesi 3 di bawah tema “Adapting to Changing Environment and Building Resiliency”.


"Antara lainnya saya menyentuh berkenaan landskap dan pencapaian gerakan koperasi negara yang telah menjangkau usia melebihi 100 tahun serta dasar semasa seperti Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030) yang memetakan hala tuju gerakan koperasi negara dengan sasaran perolehan RM60 bilion pada tahun 2025 dan RM73 bilion pada tahun 2030.


"Saya turut menyentuh berkenaan hala tuju KUSKOP dalam memperkasakan perniagaan berasaskan teknologi menerusi pelancaran Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 serta menekankan kepentingan perubahan perniagaan daripada kaedah konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan terutama sekali rentetan daripada pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia selain berkongsi kejayaan dan pencapaian gerakan koperasi Malaysia di peringkat nasional dan persada antarabangsa," katanya.


Ewon berkata Malaysia juga telah terlibat di dalam Deklarasi Bersama gerakan koperasi negara-negara Asia Pasifik semasa sesi penutup yang antaranya menekankan peranan koperasi dalam menggalakkan pembangunan inklusif bagi memastikan keperluan kumpulan terpinggir, wanita, belia dan komuniti orang asli terjaga berdasarkan kepada inisiatif yang digariskan di dalam agenda United Nation Sustainable Development Goals (SDGs).


Mengenai tema Hari Pekerja 2024, “Pekerja Kesuma Bangsa” Ewon berkata ia adalah seiring dengan inisiatif kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di samping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.


Katanya dalam konteks KUSKOP, seluruh warga KUSKOP dan agensinya adalah penyumbang kepada terlaksananya semua dasar dan perancangan Kementerian ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif, seimbang dan mampan.


Menurut Ewon, pada 6 Mei lalu, KUSKOP telah membentangkan kertas Pemerkasaan PKS kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.


"Cadangan yang dikemukakan melibatkan intervensi-intervensi bagi meningkatkan skala dan daya saing PKS.


"Dalam hal ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menzahirkan peri pentingnya kerjasama serta sinergi di kalangan Kementerian dan agensi bagi mengelakkan pertindihan pelaksanaan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada usahawan dan PKS adalah menyeluruh serta saling melengkapi.


"Justeru, saya menyeru kepada semua warga Kementerian dan agensi untuk memperkukuhkan semangat kerjasama dan kerja berpasukan serta tidak work in silo dalam melaksana dan menyampaikan perkhidmatan agar tiada kumpulan usahawan dan koperasi yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan," katanya.


Ewon merakamkan jutaan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUSKOP dan agensinya kerana telah bekerja bersama-sama dengannya sejak beliau dilantik.menjadi Menteri KUSKOP sehingga sekarang.


"Banyak yang telah kita capai bersama dan saya berharap kita akan terus bekerja bersama demi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul," katanya.


Turut hadir di majlis ini, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian Kementerian dan Ketua-Ketua Agensi Negeri serta warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya.

bottom of page