Ewon mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina di Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina di Penampang



Ewon mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Legacy Group Andy Chew Kai Yeow mengenai perumahan itu.

10 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu lebih banyak rumah mampu milik dan rumah PPRT dibina di kawasan Penampang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ini kerana masih ramai rakyat di kawasan itu yang memerlukan rumah jenis berkenaan.


“Isu perumahan merupakan salah satu masalah besar yang dihadapi rakyat Sabah... ramai yang memerlukan rumah.


Ewon disambut mesra pada majlis itu.

“Oleh itu sebagai Ahli Parlimen dan Menteri, saya mengalu-alukan pembinaan rumah mampu milik yang ditawarkan oleh pemaju,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Eco Peak Condominium, di sini, hari ini.


Ewon berharap pembinaan kondominium yang mempunyai 321 unit itu sedikit sebanyak dapat membantu menangani isu perumahan di Sabah, terutama di Penampang.


“Bagaimanapun saya maklum dan tahu bahawa bukan semua rakyat Penampang mampu membelinya.


“Oleh itu saya mahu menjadikannya sebagai sebahagian daripada agenda Ahli Parlimen Penampang untuk membela rakyat di kampung-kampung yang memerlukan rumah PPRT.


Ewon bertanya sesuatu mengenai perumahan itu kepada Pengarah Urusan Legacy Group Andy Chew Kai Yeow..

“Pada masa yang sama, dalam menyokong usaha pemaju membangunkan perumahan seperti ini, saya mahu situasi yang harmoni antara pemaju dan penduduk kampung dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dari segi pelesenan, kelulusan pelan pembangunan supaya semuanya teratur,” katanya.


Mengenai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon berkata kementerian itu beperanan penting untuk memajukan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.


“Di Penampang, saya bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Pejabat Daerah Penampang untuk membangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang yang merangkumi empat bidang iaitu digital ekonomi, agro tourism, perusahaan sosial dan hal-hal berkaitan penjaja kecil.



“Saya mahu program yang sama juga dipanjangkan di seluruh negara iaitu di daerah-daerah seluruh Sabah dan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.


Sepanjang hari ini, Ewon mengadakan program turun padang ke enam kampung di Penampang untuk melihat sendiri permasalahan seterusnya membantu menyelesaikan setiap isu penduduk kampung berkenaan.


Lokasi-lokasi yang beliau lawat ialah Beverly Hills, Kg Putaton, Kg Guunsing, Kg Koidupan dan Kg Divato.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page