Ewon Minta Penjelasan Pembatalan 40 Tender Projek Jalan Luar Bandar Sabah

13 Oktober 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meminta penjelasan Kerajaan Persekutuan berhubung pembatalan 40 daripada 65 tender projek Jalan Luar Bandar (JLB) di Sabah tahun ini yang melibatkan jumlah kos projek RM5.144 bilion.
Beliau berkata perkara itu menimbulkan kebimbangan kerana projek berkenaan dilaporkan sudah berada pada peringkat pengiklanan dan pelawaan tender.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ewon meminta kerajaan menjelaskan status sebenar peruntukan pembangunan JLB di Sabah serta sama ada projek yang terjejas akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan di bawah Belanjawan 2027.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pembatalan itu menyebabkan Sabah kehilangan satu tahun pelaksanaan bagi projek-projek jalan luar bandar berkenaan.
Ewon berkata pembangunan infrastruktur asas, khususnya jalan raya, bekalan air dan elektrik, mempunyai hubungan langsung dengan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negeri.
Menurutnya, kelewatan penyaluran peruntukan dan pelaksanaan projek boleh menjejaskan akses penduduk kepada kemudahan asas serta melambatkan aktiviti ekonomi setempat.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab memastikan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dilaksanakan tanpa kelewatan yang tidak wajar, termasuk dari segi penyaluran peruntukan dan proses perolehan.
Dalam pada itu, Ewon merakamkan penghargaan terhadap peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah pada 2027.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan projek serta sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Beliau turut mencadangkan supaya peruntukan pembangunan bagi Sabah disalurkan pada suku pertama setiap tahun, manakala proses perolehan diselesaikan selewat-lewatnya pada suku kedua bagi membolehkan projek dimulakan dalam tahun kewangan yang sama.















Comments