Ewon pengerusikan mesyuarat khas selesai isu tanah tiga kampung di Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon pengerusikan mesyuarat khas selesai isu tanah tiga kampung di Penampang

Ewon ketika mempengerusikan mesyuarat khas itu.

2 Feb 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat khas untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah dan warta kampung di tiga buah kampung di sini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kawasan itu melibatkan Kg.Sugud, Kg.Togudon dan Kg.Babagon.


“Penduduk Kg.Sugud dan Kg.Babagon memohon supaya Tanah Rezab Padang Ragut di kampung itu ditukar kepada rezab tanah kampung.

Wakil dari jabatan berkenaan memberi penjelasan mengenai isu tanah di Penampang.

“Manakala penduduk Kg.Togudon pula memohon supaya isu pemilikan geran tanah dapat diselesaikan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas itu, di Pejabat Daerah Penampang, di sini, kelmarin.


Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Air, Jabatan Pertanian dan Ketua-Ketua kampung berkenaan.


Ewon berkata, beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor pada Disember lalu memohon kelulusan penyukatan tanah melalui Program PANTAS di Kg.Togudon dan maklum balas yang diterima adalah positif.

“Nota Ketua Menteri kepada Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah menyatakan tiada halangan untuk penyukatan tanah melalui Program PANTAS,” katanya.


Mengenai isu tanah di Kg.Sugud pula, beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November 2022.


“Pada persidangan DUN lalu, saya telah mencadangkan supaya rezab padang ragut di Kg.Sugud ditukar kepada rezab tanah kampung, kerana ini adalah permintaan penduduk kampung yang mempunyai rezab padang ragut tetapi kini tidak lagi digunakan.

“Berdasarkan jawapan lisan yang saya terima, penukaran rezab padang ragut kepada rezab tanah kampung boleh dipohon dengan menulis surat kepada Setiausaha kerajaan Negeri,” katanya.


Ewon berkata, penduduk Kg.Babagon juga meminta supaya rezab padang ragut di kampung itu ditukar kepada tanah kampung kerana tiada lagi penduduk yang mengusahakan ternakan, pada masa kini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page