top of page

Ewon pengerusikan mesyuarat pelaksanaan inisiatif Ehsan@KUSKOP

Wartawan Nabalu News

20 Januari 2025

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan Inisiatif Ehsan@KUSKOP bagi memastikan ianya dapat dijayakan dengan lancar sepanjang tempoh pelaksanaan.


Inisiatif Ehsan@KUSKOP merupakan program memperkasa pendidikan kepada anak-anak keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih melalui sumbangan sosial korporat Bank Rakyat yang diuruskan oleh Yayasan Bank Rakyat.


Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk inisiatif tersebut yang akan diadakan secara rintis di tiga kawasan parlimen utara Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud yang mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi.


Menurut Ewon, inisiatif Ehsan@KUSKOP merangkumi bantuan pengangkutan, bantuan asrama desa/transit, bantuan persekolahan, bantuan awal pengajian, tuisyen dan seminar pendidikan yang dilaksanakan secara bersasar.

“Inisiatif Ehsan@KUSKOP merupkan ilham dan sumbangan saya serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensi KUSKOP kepada wawasan untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah sepertimana dihasratkan oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah melalui gerakan pendidikan dan keusahawanan yang berada dalam skop tanggungjawab saya.


“Setiap kali saya bermesyuarat di Kabinet atau bersidang di Parlimen, dan apabila disebut daerah-daerah termiskin di Sabah, maka saya telah meletakkan azam bahawa saya mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian tanpa mahu menuding jari di mana silapnya isu kemiskinan masih tinggi di Sabah.


“Sebab itu saya mengilhamkan inisiatif Ehsan@KUSKOP ini sebagai satu usaha ke arah membantu menangani isu kemiskinan ini. Saya berterima kasih kerana KUSKOP dan agensi-agensinya seperti Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat bersedia turut sama dalam perjuangan ini,” katanya.

Program Ehsan@KUSKOP telah dilancarkan pada 30 Disember tahun lepas oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sempena Majlis Santuni Rakyat MADANI KUSKOP di Kadamaian Square, Kota Belud.


Ewon menambah, komponen seterusnya inisiatif Ehsan@KUSKOP adalah membantu melahirkan anggota keluarga berdaftar e-Kasih ini menjadi usahawan kecil bermula di lokaliti masing-masing.


Turut hadir dalam mesyuarat tadi ialah Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah Samsul Dollah, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang dan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ Sabah Datuk Rosmadi Datu Sulai.


Pegawai-pegawai daerah dan pejabat-pejabat pendidikan daerah di ketiga-tiga kawasan parlimen tersebut juga hadir bersama dalam mesyuarat tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page