• Wartawan Nabalu News

EWON PERUNTUK RM10,000 BINA BARU JALAN KE TANAH PERKUBURAN KG. MELANGKAP NERIOU


Ewon (dua kanan) bersama penduduk, meninjau pembinaan jalan baharu ke perkuburan kampung itu.

1 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengulangi komitmennya untuk terus berusaha menyediakan keperluan rakyat Kadamaian dan membawa pembangunan ke kawasan itu. Beliau berkata, keperluan rakyat Kadamaian akan terus menjadi keutamaannya walaupun kini beliau dalam blok pembangkang.

“Perbezaan politik tidak menjadi penghalang untuk kita terus membantu rakyat kerana rakyat telah memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya untuk menjaga Kadamaian. “Sehubungan itu, kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan keperluan rakyat Kadamaian dapat ditunaikan,” katanya. Ewon berkata demikian selepas meninjau pembinaan jalan perkuburan Kg.Melangkap Neriou yang baru siap dibina, kemudiannya makan bersama penduduk kampung yang menyertai gotong-royong membersihkan kawasan kampung itu.

Semasa lawatan ke kampung itu September 2020, beliau meninjau keadaan jalan perkuburan itu yang dipohon oleh penduduk kampung dan beliau bersetuju menyedikan sejumlah peruntukan untuk tujuan itu.

Ewon berkata, penaburan batu kelikir akan dilaksanakan pada minggu seterusnya di sepanjang Jalan berkenaan.


Sementara itu, penduduk Kampung Melangkap Neriou gembira dan berterima kasih kepada Ewon atas keprihatinan memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk membina jalan baharu sejauh 200 meter ke kawasan perkuburan kampung itu. Ketua Kampungnya KK Dumin Sinit berkata, mereka telah memohon pembinaan jalan raya berkenaan sejak dahulu lagi (sejak kerajaan USNO) kerana ia adalah antara keperluan utama penduduk kampung namun ia tidak pernah diluluskan.

KK Dumin Sinit

“Kerajaan dan wakil rakyat Kadamaian sering bertukar-tukar tapi permohonan kami tidak pernah dipertimbangkan. Syukur dan terima kasih kepada Datuk Ewon kerana begitu prihatin terhadap masalah rakyat. “Beliau memberikan peruntukan untuk membina jalan ke kawasan perkuburan kampung. Walaupun kini beliau bukan lagi berada dalam kerajaan tetapi beliau tetap menunaikan janji pilihanraya lalu. “Biasanya janji-janji pilihanraya bagi sesetengah wakil rakyat tidak boleh dipercayai kerana ia hanyalah janji kosong tetapi Datuk Ewon bukan seperti mereka.


“Beliau (Datuk Ewon) telah menunaikan janjinya. Semasa beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam tempoh hanya dua tahun, banyak pembangunan di kampung ini iaitu pembinaan dewan terbuka, penaiktarafan jalan kampung dan pembaikan bengkel kraftangan,” katanya.