top of page

Ewon Salur RM70,000 Untuk Baik Pulih Infrastruktur Kampung Gandukut

  • nabalunews
  • Jun 23
  • 2 min read

23 Jun 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyalurkan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi membaiki infrastruktur Kampung Gandukut, di sini.


Daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja membaiki kerosakan jambatan gantung manakala RM20,000 lagi bagi pembaikan balai raya di kampung berkenaan.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan beliau dalam membawa pembangunan di kawasan Kadamaian melalui pelbagai projek serta inisiatif pembangunan.


Katanya, selain projek berskala kecil menggunakan peruntukan ADUN, pelbagai inisiatif kementerian di bawah kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan turut giat dilaksanakan.


“Kita turut giat melaksanakan projek berskala besar seperti menaik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.


“Saya percaya, pembangunan menyeluruh merangkumi aspek infrastruktur, kemudahan sosial, keusahawanan dan pendidikan adalah kunci utama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di Kadamaian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Gandukut, kelmarin.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan tambahan sebanyak RM21,000 menerusi peruntukan khas Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian kepada beberapa badan komuniti di kampung berkenaan.


Ia termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gereja SIB, Gereja SDA, badan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan belia serta surau Kampung Gandukut.


Sementara itu, Pengerusi JKKK, Penggiew Linduman menzahirkan penghargaan kepada Ewon atas keprihatinan dan sentiasa peka terhadap keperluan penduduk di kawasan Kadamaian.


“Peruntukan pembaikan infrastruktur ini sudah tentu memberi manfaat besar kepada penduduk. Ini adalah bukti komitmen Ewon dalam membawa perubahan dan kemajuan yang jelas dapat dirasai oleh Kadamaian.


“Bantuan sentuhan kasih ini pula kami akan gunakan sepenuhnya untuk membaiki kemudahan tandas serta lantai tangki-tangki air komuniti bagi keselesaan penduduk,” katanya.


Sementara itu, Ketua Persatuan Belia, Bob Teddy Bantason berkata, sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan untuk membaiki padang sukan kampung berkenaan.


Selain itu katanya, ia juga akn digunakan bagi penganjuran kejohanan sukan antara kampung di kawasan sekitar tahun ini.


Manakala itu, Pengerusi Surau Kampung Gandukut, Zainal Muin turut menyambut baik bantuan tersebut yang mana akan digunakan untuk membeli keperluan semasa termasuk lampu solar untuk kegunaan surau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page