top of page

Ewon sampaikan dana MINDET RM50,000 perkasa keusahawanan

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

TELUPID: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) menyalurkan dana berjumlah RM50,000 menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET kepada tiga persatuan bagi memperkasa aktiviti keusahawanan di Telupid dan Pitas.


Dana tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, sempena lawatan kerja beliau ke Bengkoka dan Telupid pada Sabtu.


Daripada jumlah itu, Persatuan Amal Harapan Beluran menerima dana sebanyak RM20,000, Persatuan Peniaga Telupid Sabah menerima RM10,000, manakala Persatuan Sukarelawan Bengkoka Pitas menerima RM20,000.



Ewon berkata, sumbangan itu bertujuan membantu persatuan berkenaan melaksanakan pelbagai program keusahawanan untuk manfaat ahli serta penduduk setempat, termasuk usahawan Tamu Desa, bagi meningkatkan penglibatan dalam aktiviti ekonomi.


Dalam lawatan ke Bengkoka, Pitas pada Jumaat, beliau turut meninjau Projek Tamu Desa Bongkol yang siap dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun lalu.


Beliau berkata, projek berkenaan kini dimanfaatkan oleh komuniti usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan pada setiap hari Sabtu, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan teratur kepada para peniaga serta pengunjung.


“Projek Tamu Desa adalah antara inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan ketika menerajui KUSKOP bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.


“Kita meneruskan usaha membantu usahawan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi penyediaan bantuan, kemudahan dan kerjasama strategik, termasuk melalui Dana Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET.


“Ini bagi memastikan lebih ramai usahawan, khususnya di luar bandar, berpeluang mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page