Ewon sampaikan sumbangan CSR SKM kepada 10 JKKK dan Koperasi di Kadamaian
- Wartawan Nabalu News
- Jun 27
- 1 min read

27 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan sumbangan kerusi dan meja kepada 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Koperasi di kawasan Kadamaian menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Majlis simbolik penyampaian sumbangan bernilai RM50,000 itu diadakan di perkarangan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian.
Menurut Ewon, inisiatif ini bertujuan memperkasa fasiliti komuniti luar bandar, khususnya bagi kegunaan dewan terbuka dan koperasi sebagai ruang pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti kampung untuk program-program sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan.
“Dengan adanya kemudahan yang lebih selesa, secara tidak langsung meningkatkan penyertaan dan keselesaan penduduk dalam setiap aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata, program tersebut mencerminkan komitmen SKM dalam menyokong pembangunan masyarakat luar bandar melalui pendekatan koperasi serta kerjasama strategik bersama pemimpin setempat dan institusi berkaitan.
Turut hadir, Pengarah SKM Sabah, Haji Efendee OP Andu; Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah, Mohd Razalie Raffae; dan Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul.
Antara kampung yang menerima manfaat daripada program CSR ini ialah JKKK Kampung Podos, Kampung Bokilong, Kampung Pangi, Kampung Taginambur Jaya, Kampung Taginambur Batu, Kampung Purak Ogis, Kampung Tuguson, Kampung Bundu Paka, Kampung Lahanas serta Koperasi Pelancongan Sogindai Kiau Berhad.
Comments