top of page
  • Wartawan Nabalu News

 Ewon saran rakyat Sabah langgan keanggotaan Co-Opbank Pertama 



10 Mei 2024

 Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan supaya rakyat Sabah melanggan keangotaan Co-Opbank Pertama (CPB), iaitu satu bank koperasi di negara ini.

 

Beliau berkata, semakin banyak keanggotaan CBP di negeri ini, pastinya akan memudahkan Co-Opbank mewujudkan lebih banyak cawangan bank di negeri ini.

 

“Saya juga mencadangkan kepada Co-Opbank Pertama supaya membuka cawangan baharu di kawasan pedalaman khususnya di Keningau yang juga merupakan satu daerah dan pekan besar di negeri ini.

 

“Ini permintaan saya selaku rakyat Sabah yang melihat potensi di Keningau, tetapi terpulang kepada CBP untuk membuat keputusan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Co-Opbank Pertama Cawangan Papar, di Parlane City Benoni, di sini, hari ini.

 

Ewon berharap dengan adanya kemudahan CBP di Papar akan memberikan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di daerah itu dan sekitarnya bagi menggalakkan masyarakat membudayakan gerakan koperasi.

 

“Saya juga menjemput semua khususnya di Papar untuk menjadi anggota kepada CBP yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pulangan dividen yang kompetitif.

 

“Kita mahu melihat Co-Opbank Pertama terus cemerlang bukan setakat cawangan keempat di Sabah tetapi mudah-mudahan akan ada lagi cawangan baharu pada masa akan datang di Sabah dan seluruh negara,” katanya.

 

Beliau juga berharap pengwujudan Bank Bergerak CBP di Papar akan menjadi permulaan kepada pembukaan lebih banyak cawangan lain di negeri ini.

 

Sementara itu Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi berkata, CBP yang ditubuhkan pada 1950 telah menjalani beberapa proses penjenamaan dan pada tahun 2018, CBP dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad atau Co-Opbank Pertama.

 

Beliau berkata, CBP juga telah mencapai banyak kejayaan sepanjang 74 tahun penubuhan, bermula daripada koperasi kecil, kini menjadi sebuah co-opbank yang terunggul di negara ini setelah dinobatkan sebagai salah satu Koperasi Premire Malaysia selama tiga tahun berturut-turut oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

“Ini adalah satu kejayaan terbesar dan yang amat dibanggkan dan pengiktirafan ini juga membuktikan CBP berada dilandasan yang betul.

 

“Pembukaan cawangan Papar ini selari dengan Pelan Perancangan Strategik CBP lima Tahun di mana CBP merancang mempunyai 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026,” katanya.

 

Cawangan Papar merupakan cawangan ke-4 di Sabah selain di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan yang baharu dibuka pada Januari 2024.

 

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

 

 

 

Comments


bottom of page