Ewon sifatkan Bajet Sabah 2022 belanjawan konservatifEwon sifatkan Bajet Sabah 2022 belanjawan konservatif
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sifatkan Bajet Sabah 2022 belanjawan konservatif


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyifatkan Belanjawan Sabah 2022 adalah Belanjawan Konservatif.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri seharusnya tampil dengan belanjawan progresif khas Pasca Covid-19 bagi memulih dan membangkitkan semula ekonomi rakyat.


“Saya berpendapat belanjawan tersebut adalah sebuah belanjawan konservatif yang lebih kurang sama dengan belanjawan-belanjawan yang dibentangkan pada tahun-tahun sebelumnya.


“Saya mengharapkan belanjawan negeri yang betul-betul dapat mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi rakyat Sabah pasca pandemik Covid-19 serta peluang memperkenalkan agenda-agenda reform untuk menge-setkan (re-setting) ekonomi Sabah.


“Bagaimanapun, ianya tidak terserlah dalam belanjawan yang telah dibentangkan tersebut,” katanya, hari ini.


Ewon mencadangkan supaya Kerajaan Negeri tampil dengan belanjawan khas yang lebih progresif dan agresif bagi memulih dan membangkitkan semula ekonomi rakyat Sabah.


“Dalam ucapan perbahasan, saya telah mencadangkan Belanjawan Khas Pasca Pandemik Covid-19 khusus untuk melaksanakan projek-projek bersifat “game-changer” kepada rakyat khususnya di luar bandar.


“Ini termasuk projek menaiktaraf jalan-jalan perhubungan luar bandar; projek menaiktaraf kemudahan dan fasiliti kesihatan dan sekolah; dan projek menaiktaraf bekalan air dan elektrik termasuk melalui kaedah alternatif serta liputan telekomunikasi.


“Projek-projek ini tidak seharusnya merangkumi senarai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) atau senarai projek biayaan Kerajaan Negeri yang sudah dibajetkan,” katanya.


Beliau turut mencadangkan supaya Belanjawan Khas tersebut dibiayai melalui jaminan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan di mana Kerajaan Persekutuan masih mempunyai “hutang terkumpul” kepada Kerajaan Negeri.


Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri perlu mengambil pendekatan agresif untuk memastikan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan tersebut.

bottom of page