Ewon sokong penduduk Kadamaian teruskan tuntutan tanah di mahkamah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon sokong penduduk Kadamaian teruskan tuntutan tanah di mahkamah


Ewon menerima laporan daripada Ketua PDM Melangkap Anichlose Kesimin.

31 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick akan menyokong penduduk tujuh buah kampung kawasan itu menuntut hak tanah mereka yang termasuk dalam Hutan Simpan Wariu.


Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, ini kerana penduduk kampung sudah lama tinggal dan mengusahakan sebahagian daripada kawasan itu mempunyai hak menuntut tanah mereka.


“Sekiranya penduduk kampung bercadang untuk membawa perkara ini di mahkamah dan meneruskan bantahan ke atas pewartaan Hutan Simpan Sungai Wariu yang dibuat pada 8 Disember 2016, saya sedia memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program PDM UPKO Melangkap di Dewan Terbuka Eko Pelancongan Melangkap Tiong, di sini, hari ini.


Ewon berucap pada majlis itu.

Ewon yang juga Ketua Bahagian Upko Kota Belud berkata, beliau telah membentangkan memorandum bantahan penduduk Kg Malangkap Noriou, Kg Melangkap Tiong, Kg Melangkap Kapa, Kg Melangkap Tomis, Kg Melangkap Baru, Kg Podos dan Kg Gensurai dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 24 Julai 2020.


“Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Shafie Apdal ketika itu telah bersetuju untuk mengeluarkan kawasan perkampungan itu daripada Hutan Simpan termasuk yang mempunyai tuntutan tanah adat.


“Bagaimanapun dasar kerajaan terdahulu tidak diteruskan kerajaan GRS. Saya tidak tahu kenapa kerajaan pada hari ini tidak meneruskan keputusan kerajaan (Warisan Plus) membubarkan kawasan Hutan Simpan Wariu,” katanya.



Katanya lagi, Hutan Simpan Sungai Wariu telah diwartakan sebelum beliau menjadi Wakil Rakyat pada tahun 2018.


“Saya tidak tahu kewujudan hutan simpan ini sehingga saya menerima bantahan daripada penduduk kampung pada Mei 2020 apabila petugas-petugas Jabatan Perhutanan datang ke kampung-kampung itu membuat pengukuran sempadan,” katanya.


Ewon berkata, pembubaran Hutan Simpan yang berkonfik dengan komuniti boleh dicabar di mahkamah melalui tuntutan tanah adat oleh komuniti.


“Jika bantahan ini dibawa ke mahkamah selepas semua proses diplomasi telah dibuat, saya percaya tuntutan hak tanah adat itu akan mendapat penghakiman sewajarnya kerana Hutan Simpan Sungai Wariu diwartakan pada 2016 sedangkan kampung-kampung tersebut telah wujud berpuluh tahun yang lepas dan telah mengusahakan sebahagian besar kawasan tersebut untuk pertanian,” katanya.



Pada majlis itu Ewon menyampaikan bantuan bakul makanan dan sumbangan kepada belia Kampung Melangkap Tiong melaksanakan program gotong-royong serta baju jersi untuk Kelab Bola Sepak Melangkap United FC.


Selain itu beliau turut memberikan sumbangan sejumlah RM4,000 untuk baikpulih paip graviti di Kampung Melangkap Baru dan baikpulih jalan kuburan Melangkap Tiong.



bottom of page