Ewon syorkan DUN Sabah adakan sidang khas bincang isu Anti Lompat Parti, tambah kerusi Parlimen
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon Syorkan DUN Sabah adakan sidang khas bincang isu Anti Lompat Parti, tambah kerusi Parlimen


14 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengesyorkan agar satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan bagi membincangkan perkara-perkara penting berkaitan kepentingan rakyat Sabah.


Beliau berkata, ini termasuk cadangan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dan Anti Lompat Parti.


“Sidang Khas DUN ini penting untuk membolehkan semua wakil rakyat mengambil bahagian membahaskan  dua perkara ini iaitu penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Anti Lompat Parti sebelum diluluskan.


“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud mencadangkan agar kerusi Parlimen Kota Belud ditambah apabila kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan di negeri ini.


“Ini penting memandangkan kawasan Parlimen Kota Belud amat luas dan penduduk yang ramai. Upko mencadangkan supaya Parlimen Kota Belud dibahagikan kepada dua iaitu Kadamaian dan Kota Belud,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO dan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud menyokong usaha mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak seperti yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).


Secara keseluruhannya daripada 222 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, jumlah kerusi bagi Sabah dan Sarawak setakat ini hanya 56 iaitu Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (31 kerusi).


“Di Sabah ada satu kawasan Parlimen hampir menyamai keluasan dua buah negeri di Semenanjung. Ini antara sebab mengapa masih banyak kawasan terutamanya di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan kemudahan infrastruktur.


“Dengan pertambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri ini akan memudahkan penyaluran peruntukan pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page