Ewon tekad laksana mandat rakyat Penampang sebaiknya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon tekad laksana mandat rakyat Penampang sebaiknya

Ewon (empat kanan) bergambar bersama Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim (empat dari kiri) dan para pemimpin PH.

19 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang yang baharu Datuk Ewon Benedick mewakili Pakatan Harapan berkata, beliau akan melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab besar yang diberikan rakyat Penampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


“Mandat yang diberikan ini satu amanah yang besar dan saya harus bekerja keras untuk melaksanakan apa yang dikehendaki rakyat Penampang secara keseluruhannya.


“Sebentar tadi saya juga menerima panggilan daripada calon parti Warisan Datuk Darell Leiking, mengucapkan tahniah kepada saya dan Pakatan Harapan.

“Saya mengatakan kepada beliau, bahawa beliau masih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog dan saya berharap dapat bekerjasama untuk bersama-sama membina Penampang seperti yang dikehendaki rakyat Penampang.


“Sudah semestinya saya mengambil mandat yang diberikan ini sebagai satu amanah yang besar untuk rakyat Penampang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diisytiharkan menang bagi kerusi Parlimen Penampang, sebentar tadi.


Keputusan itu diumumkan Pegawai Pilihanraya Penampang Francis Chong di pusat pengiraan undi Pusat Kebudayaan Penampang.


Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Penampang yang mengambil bahagian dalam proses demokrasi menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari ini.


“Sebagai calon PH saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan undi dan mandat yang diberikan kepada kami di Pakatan Harapan.


“Terima kasih juga kepada para petugas pilihan raya termasuk badan penguatkuasa undang-undang dan semua petugas sepanjang kempen pilihan raya ini.


“Begitu juga dengan jentera PH Penampang, jutaan  terima kasih atas kerjasama sebagai satu pasukan dalam kempen ini menjelaskan Tawaran PH dan isu-isu yang dibincang sepanjang kempen ini.

“Kepada calon-calon dari parti lain yang bertanding di Parlimen Penampang, terima kasih kerana menunjukkan satu kempen yang sangat baik,” katanya.


Ewon yang juga Adun Kadamaian menang dengan majoriti 14,410 undi menewaskan tiga pencabar lain iaitu Timbalan Presiden Warisan Darell, Kenny Chua calon dari Gabungan Rakyat Sabah/ Barisan Nasional (GRS/ BN) dan Richard Jimmy (Bebas).


Ewon memperolehi sebanyak 29,066 undi, Darell (14,656 undi), Kenny (6,719 undi) dan Richard (289 undi).


Parlimen Penampang mempunyai sebanyak 77,214 pengundi berdaftar pada PRU15 yang majoritinya kaum Kadazandusun. Jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 66.46 peratus.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page